Apabila saya mengamat-amati penyair/pemuisi dari dua zaman ini, saya berasa beberapa perbezaan antara dua golongan ini. Namun saya belum membuat kajian kerana ketinggalan mengikuti perkembangan sastera tanah air antara tahun-tahun 2001 hingga 2015 kerana tugasan yang banyak selain soal keluarga dan pengajian separuh masa yang saya ikuti antara tahun-tahun 2001 hingga 2005.

Saya melihat perbezaan itu termasuk cara persembahan, pengucapan bahasa yang berbeza, idea yang dilontarkan, tema yang digarap, dan pelbagai lagi termasuk pengaruh dari luar khasnya Jepun.

Para penyair sebelum zaman maya misalnya, kurang pengaruh dari puisi Jepun terutama Haiku yang dibawa oleh Latiff Mohidin, Muhammad Hj Salleh dan beberapa penyair lain.

Ini berlainan dengan penyair dalam zaman media sosial yang banyak menerapkan g aya puisi Jepun. Saya mengalu-ngalukan aliran ini kerana ia menjadikan puisi kita lebih rencam dengan pelbagai gaya.

Namun saya berpendapat kita mempunyai akar tradisi dalam puisi lama seperti pantun, syair, gurindam, nazam, bahasa berirama, dan sebagainya yang perlu dipertahankan dan diperkenalkan kepada generasi muda.

Dari segi bahasa misalnya, bahasa penyair zaman kini lebih rencam, berbeza zaman sebelum internet yang mana puisi-puisi yang dipersembahkan menampakkan gaya bahasa yang kurang puitis, lebih mementingkan idea namun bahasa puisinya masih kekal sebagai puisi.

Untuk lebih jelas, kita lihat serangkap puisi panjang Muhammad Hj Salleh Yang berjudul “Pulang Si Tenggang”:

Jarak jasmani Yang kutempuh ini, adalah perjalanan jiwa, pemindahan dari tanahasal,
Ke negeri Yang dikumpul oleh m ata dan akal,
Ilmu yang datang darinya, adalah ilmu pendatang, yang
belajar melihat, berfikir, Dan memilih di antara kenyataan, yang
selalu berubah
(Buku Perjalanan Si Tenggang II).

Kelihatan pada rangkap di atas, bahasa yang digunakan oleh Muhammad ialah bahasa yang mudah difahami dan tidak berbunga-bunga, namun masih puitis. Muhammad kelihatan lebih mementingkan isi sajak tersebut dan tidak terlalu melenggokkan gaya bahasanya. Memang beliau dikenali sebagai penyair yang membawa ciri intelektualisme ke dalam puisi-puisinya. Ramai penyair terkemudian terpengaruh dengan gaya Muhammad ini, dan antara yang menonjol ialah SN terbaru iaitu Prof.Dr Rahman Shaari. Kebetulan pula Rahman berguru dengan Prof. Muhammad dalam menyelesaikan studinya di UKM.

BAYANG

lenakah aku nanti
di balik samar-samar
rembulan mengambang
malam semakin larut
resah bertamu
gelisah gelora dan kecewa

rintik hujan bagai kembalikan kenangan
bayang silam terus memburu akan
pudarkah bersama masa berlalu
cabaran dan rintangan tak pernah sudah
kesakitan membuat aku lemah
aku membiarkan diri
lupakan segala percaturan

dalam khayalan
kelopak mata semakin rapat
akhirnya lena diulik mimpi
aku percaya ada mimpi benar

UMMI SAEIDAH
Kota Bharu,Kelantan
1Jun 2022

Kita lihat pula gaya penyair Ummi Saeidah bagi mewakili puisi-puisi zaman media sosial yang lahir selepas meledaknya internet sekitar awal tahun-tahun 2000 dan ke atas.

Ada kelainan pengucapan bahasa pada Ummi ini berbanding dengan puisi-puisi zaman sebelumnya.

Penyair zaman maya ini menggunakan bahasa yang puitis dan romantis yang indah namun kurang dari segi idea dan gagasan yang cuba diketengahkan. Puisi-puisi Yang sezaman dengannya menggunakan bahasa yang cantik namun isinya tidak dapat ditebak. Kadangkala ada mesej yang ingin disampaikan namun mesejnya ringan sahaja dan lebih menjurus kepada soal peribadi, cinta kasih, rindu dendam, dan sebagainya. Hanya segelintir yang membawa tema kemasyarakatan, kritikan sosial, atau politik.

Saya berhenti di sini dulu kerana, untuk membicarakan isu ini dari pelbagai aspek, memerlukan tulisan yang panjang dan kajian yang mendalam.

Salam puisi.

Oleh:

Zainal Lasim @ lbnu Lazim,
29 Jun,2022.

TAMAT.