Sayembara Maulidur Rasul.

Tulis sebuah SAJAK yang relevan.

Kepanjangan: Bebas.
Tarikh: Ahad 9.10.2022 (11:00 AM – 11:59PM). (Dilanjutkan ke Isnin 10.10.2022 @ 11:59PM).
HADIAH: RM300; RM200; RM100.
Selamat berkarya dan berjaya.
Hantar karya ke: gaksaAsean@gmail.com.

PENYERTAAN

  1. Hamimah Ibrahim. “Sifat Terpuji”.
  2. Rafael Maribin. “Dia Rasulullah”.
  3. Abdullah Hussaini bin Mohd Ghazali. “Pada Maulidur Rasul, 1444 Hijrah”.
  4. Salmah Amir. “10 MUKJIZAT RASULULLAH NABI MUHAMMAD S.A.W”.
  5. Ibnu Din Assingkiri. “BUKTIKAN KASIH”.
  6. Ismail Bin Hashim. “PESANAN RASULULLAH”.
  7. Jolatif. “YA HABIBULLAH”.
  8. Mohd Adib Ab Rahman. “OH SUNGGUH LUAR BIASA SEKALI JASA PENGORBANANMU, YA RASULULLAH”.
  9. Sarji Kasim. “Hati dan Lidah Mengalunkan Selawat”.
  10. Alina Sukesi. “SANAH HELWAH YA RASULULLAH”.
  11. Hamizun Syah. “SYAIR MAULIDUR RASUL”.
  12. Hamizun Syah (2). “HAIKU MAULIDUR RASUL”.
  13. Moh. Ghufron Cholid. “Hal-hal Terantik Kelahiranmu, Baginda”.
  14. Haji Zainul Ayob. “Junjungan yang Mulia Rasullullah”.
  15. Paridah Ishak. “NAZAM  MAULIDUR RASUL”.
  16. Paridah Ishak (2). “RASULULLAH”.
  17. Mohd Shukri bin Hussin. “segenggam harap.”
  18. Ahmad David Kholilurrahman. “TIADA SEORANG PUN DAPAT MEMADAMKAN CINTAKU PADAMU, YA RASULULLAH”.
  19. Gabrial Kimjuan. “PERJUANGAN SIRAH RASULULLAH”.
  20. K. Manja. “ANTARA  PAHAT HASRAT”.

KARYA PENYERTAAN

1. Hamimah Ibrahim

SIFAT TERPUJI

Allahumma Salli’ala Saiyidina Muhammad

Selawat dan salam Junjungan Rasul pilihan
anak yatim terpilih
12 Rabiul Awal kelahiran mu

Gelaran al-Amin
sifat terpuji
Sidddiq
Amanah
Tabligh
Fatonah

Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib dari Bani Hashim
diangkat Allah menjadi Rasul Pilihan

Penuh kesabaran dalam ketegasan
dugaan.. cabaran…
bukan penghalang
musuh Islam depan belakang
Islam disebar dakwah disampaikan tanpa gentar
wahyu Allah turunkan petunjuk.jalan kebenaran
termaktub perintah dalam al-Quran

Baginda kekasih Allah
Nabi dan Rasul akhir zaman

Hamimah Ibrahim
Kluang, Johor, Malaysia

9.10.2022.

2. Rafael Maribin

Dia Rasulullah

Hembusan rasa sayang dan cinta
pastinya buat yang tercinta yang mulia
sentiasa tersenyum mendamaikan mata
sewaktu kelahirannya, dia tidak pernah diasing
sentiasa menjadi bualan penduduk setempat
tentang budinya yang penuh rahmat

Dia Rasulullah….
Yang ketika wafatnya, seluruh umat menangisi…
Yang ketika hayatnya, seluruh umat aman sentosa…
Yang ketika lahirnya sentiasa dipenuhi sinar iman…

Namun, kini kewujudannya seolah dilupa.

Alangkah bahagianya mereka yang dapat bertemu denganmu
alangkah bahagianya mereka yang sentiasa ada waktu bersamamu
alangkah untungnya mereka yang melihat senyummu.

Dia Rasulullah
pemimpin umat Islam yang terakhir
pemimpin agung tiada tolok bandingnya
pemimpin yang sentiasa dilimpahi berkah
dari Allah dan kasih sayang sahabat-sahabatnya
kerana dia Rasulullah.

Rafael Maribin.
Kota Kinabalu, Sabah.

3. Abdullah Hussaini bin Mohd Ghazali

Pada Maulidur Rasul, 1444 Hijrah

Pada tanggal ini
aku belum khatam daripada
mengenal cintamu.

Bagaimana dapat kubayangkan
dikau, paduka
aku rendahan, bergenang kotor
jauh sekali putih budi.

Nanti di Akhirat
betapa jarak dan betapa tinggi kedudukanmu
tak tercapai walau sekilas pandang.

Langit mendung di luar
tika selawat sayup-sayup
beralun di kejauhan.

Kusebut namamu satu kali
setelah lupa berkali-kali
Ya Rasulullah SAW.

Abdullah Hussaini bin Mohd Ghazali
Jerantut, Pahang.

4. Salmah Amir

10 MUKJIZAT RASULULLAH
NABI MUHAMMAD S.A.W
.

Tahukah sahabat kalian 
tentang sepuluh mukjizat 
yang Baginda Rasulullah SAW perolehi
bersama ini  dituliskan tinta bagi tatapan semua

Al Quran adalah mukjizat pertama Baginda
merupakan mukjizat agong Baginda
al- Quran sehingga kini masih dibaca  dan dipelajari
menjadi kitab bimbingan suci
bagi semua umat Baginda

Mukjizat kedua adalah kekebalan 
terhadap semua gigitan serangga
Baginda tak  pernah digigit semut atau  pun nyamok
lalat juga tak hinggapi Baginda

Mukjizat ketiga  satu keajaiban
Baginda tak pernah menguap
dalam sepanjang hayat baginda
selesa dalam apa jua

Mukjizat keempat sangat istimewa
binatang buas  jinak padanya
dan tidak pernah marah  Baginda
hadirnya Baginda tunduk semuanya

Mukjizat kelima  lagi hebat 
Baginda boleh mendengar segala “perbualan”
atau suara orang berbual
walaupun baginda sedang tidur

Mukjizat keenam berkaitan penglihatan
Baginda  mampu melihat sekeliling
pemandangan di hadapan dan di belakang 
pada waktu yang sama tak perlu menoleh

Mukjizat Baginda yang ketujuh
di mana sahaja Baginda berada
Baginda kelihatan satu kaki lebih tinggi
dengan sesiapa yang dekati Baginda.

Mukjizat  Baginda yang kelapan
Baginda telah dikhatankan
dimandikan dan dibersihkan jua
sejak dari dalam perut ibunya
sebelum Baginda dilahirkan ke dunia

Mukjizat Baginda kesembilan
Baginda tidak mempunyai bayang
daripada matahari atau bulan
dan juga sebarang pengcahayaan

Mukjizat Baginda yang kesepuluh
Baginda sentiasa dipayungi awan
setiap kali Baginda berjalan
di mana jua kawasan yang terbuka

Sekianlah kisah sepuluh mukjizat
Baginda Rasulullah SAW
semoga kita dapat mengenali
Baginda Rasulullah SAW 
dengan lebih dekat
agar dapat terbitkan lebih kasih yang mendalam
terhadap Baginda Rasulullah SAW.

Salmah Amir
9hb OKTOBER 2022
CYBERJAYA
Salam Maulidul Rasul

5. Ibnu Din Assingkiri

BUKTIKAN KASIH

memadaikah jika hanya
menyebut selawat serta salam
setelah diingatkan khatib?
sedangkan kasihnya kepada kita
melampaui luasnya segara
memadaikah jika hanya
menyebut selawat serta salam
pabila disebut nama baginda?
sedangkan disebutnya kita
dengan tekal di dalam doa
dan tumpah seluruh tenaga
agar umat terhindar neraka…
(buktikan kasih; sunah ditaat –
nanti dinaung payung syafaat.)

Taman Rimba, Teluk Bahang
08 Oktober 2022
ibnudinassingkiri

6. Ismail Bin Hashim

PESANAN RASULULLAH

Ketika Rasulullah melihat lelaki itu sedang
memikul bebanan kayu dalam keadaan
tidak mampu memikulnya bertanya Rasullullah
kepada Jibril: “Siapakah lelaki itu Jibril?”

“Lelaki itu suka menerima amanah orang lain
tetapi gagal menyampaikannya pada berhak”.

Ketika Umar bertanya kepada Rasulullah
melihat lelaki yang tidak menunaikan sembahyang
baginda menjawab: ‘tidak sah sembahyang orang
yang tidak bersuci. Tidak beragama orang yang
tidak sembahyang. Sesungguhnya kedudukan sembahyang
dalam agama adalah seperti kepala dengan badan’.

Ketika Rasulullah melihat manusia sedang mencakar-
cakar wajah dan dada mereka dengan kuku mereka
sendiri dan kuku berubah menjadi tembaga, bertanya
Rasulullah pada Jibril.

Jawab Jibril: ‘Mereka suka mengumpat dan mendedahkan
aib dan rahsia orang lain’.

Di saat akhir, keluarga dan sahabat berasa kehilangannya,
baginda yang berusia 63 tahun ketika itu telah berpesan:
‘jangan sesekali meninggalkan solat yang membawa kekuatan
pada diri, menjauhkan diri dari kejahatan dan merasakan diri sebagai hamba dan
menghayati sifat-sifat ketuhanan yang Esa. Barang siapa yang mengikutku akan
memperolehi kasih sayang di dunia dan di akhirat’.

-TAMAT-

09.10.2022

7. Jolatif

YA HABIBULLAH

Ya Habibullah!
Kupotretkan keagunganmu
Di telapak Rabiulawal
Rindu yang kuhidu berbulan-bulan
Masih kuyup dengan selawat dan salam
Tanpa kudingin
Kupuisikan luluhurmu di rubai kasih,
12 Rabiulawal
berkedip wahana Maulidur Rasul
Namamu tersurat kembang
Seluruh alam berkhalwat salam
Kerana nur syafatmu menyinar
Membangkit tamadun Islam
Bulan mulanya kesejahteraan sekalian alam.

Nukilan
Jolatif
Brunei Darussalam, Rabiulawal 1443

8. Mohd Adib Ab Rahman

OH SUNGGUH LUAR BIASA SEKALI JASA PENGORBANANMU, YA
RASULULLAH

Di tengah menebal kesuraman pesona akhlak dan kesyirikan
tak acuh pada batasan hukum hanya taksub dengan kebudayaan songsang
dari hari ke hari leka mengenyangkan nafsu
maksiat dibuat penuh megah
engkau ditakdirkan lahir di sini
memerankan matahari lahap menelan peradaban paling kelam
untuk kemudian alam terlimpah cahaya dari langit
perumpamaan tanah gersang bertukar subur menghijau

Tanpa mengira waktu gesit degupi perjuangan murni
sepanjang perjalanan hidup dihabiskan dengan menyiarkan risalah
tak kecut dari segala ancam dan gertak dari arah depan belakang
tak berbekas jiwa oleh saban masa dipersenda
bahkan dihujat tukang sihir paling licik
atau orang mabuk anggur tak boleh dipercayai
demi tegakkan syiar Islam, agama diredhai Tuhan
oh sungguh luar biasa sekali jasa pengorbananmu, ya Rasulullah

Berkat usaha kerasmu di kurun lalu
kini aku berada di dalam cahaya
rindu padamu tak pernah tenggelam
cinta padamu tak pernah padam
akan kuteruskan seruan agungmu
walau hanya dengan puisi-puisi kecil
seukuran kemampuan diri yang dianugerahkan

karya,
MOHD ADID AB RAHMAN
JB5472 Jln.6, Taman Jus Perdana, 77500 Selandar, Melaka
9-10-2022

9. Sarji Kasim

Hati dan Lidah Mengalunkan Selawat

Mari! Mari! Inilah waktu
Bila lagi untuk mengalunkan selawat
Jangan sesekali! Jangan sesekali lidah kelu terasa berat
Ingat junjungan! Ingat junjungan!
Biar rindu itu makin memberat
Biar kangen itu sampai ke puncak
Ucaplah selawat! Semoga baginda bertambah dekat
Inilah perantara antara nabi dan umatnya

Salam Allah turut bertaut
Salam malaikat ikut menurut
Doa dipanjat semoga perkenaannya mendekat
Tidak di dunia akhirat pasti dituai
Siapakah dia! Siapakah Dia akan mendapat

Cepat! Cepat alunkan selawat
Aib hamba kan menjauh
Hajat insan tertunai mudah
Sejahtera digapai aman dituai

Dengarkah itu! Dengarkah itu!
Umat berselawat disayang baginda
Tempat mulia di alam akhirat
Tempat bahagia dicapai harap
Fakir di dunia pergi menjauh
Bakhil dan sombong sudah terpendam

Ya Rasululullah! Ya Nabi Allah
Hamba ini pengikutmu
Biarpun kita menjauh sudah berabad
Kasih hamba tak pernah usang.

Pasir Mas,
9.10.2022

10. Alina Sukesi

SANAH HELWAH YA RASULULLAH
Karya: Alina Sukesi

Di hari itu

Burung-burung berterbangan di langit mekah
Pohon-pohon kurma kembali berbuah
Pasukan gajah hancur
Tanah yang kering menjadi subur
Balkon istana kisra luruh
Gereja di Buhairah runtuh
Api abadi yang disembah kaum Majusi, mati

12 Rabiul Awal
Langit dan bumi menyambut kelahiranmu
Duhai engkau putra Abdullah
Cahaya semesta kekasih Allah
Selawat dan salam tercurah untukmu
Sang pembawa kebenaran
Rahmat bagi seluruh alam
Muhammadku, Muhammadku

Madiun, Jawa Timur, Indonesia
2022

11. Hamizun Syah

SYAIR MAULIDUR RASUL

Salam Maulidur Rasul buat sahabat
kepada Nabi kita berselawat
tanda syukur sebagai umat
masyar nanti dapat syafaat

Kisah bermula di Tahun Gajah
cemburu Abrahah bertambah marah
kerah tentera menyerang Mekah
dendam hendak runtuh Kaabah

Kuasa Allah tiada mustahil
dikirimkan gerombolan burung Ababil
gugurkan batu bagai membedil
terkena tubuh reput menggigil

Tentera bergajah semua kecundang
lari Abrahah melintang-pukang
depan istana rebah terlentang
tubuhnya hancur mati terbongkang

Tahun Gajah subuh nan indah
12Rabiulawal Isnin nan karamah
lahir Muhammad utusan Allah
seluruh alam limpah barakah

Akhlak terpuji tiada tandingan
walau berdepan keji tentangan
cekal berdakwah tegak kebenaran
cuma Allah satu-satunya Tuhan!

Nabi sentiasa diperhatikan musuh
jika berpeluang tentu dibunuh
Nabi maksum cintanya menyeluruh
lindungan Allah tiada bertangguh

Demi umat teruskan dakwah
Nabi terpaksa tinggalkan Mekah
para sahabat setia berhijrah
penuh pasrah pindah ke Madinah

Dakwah Nabi berlipat ganda
perkerti terpuji sanjungan semua
Islam tersebar serata maya
ajar manusia syurga neraka

Wafat Baginda Khatamul Ambiya
amanat Baginda cukup bermakna
cinta Baginda bawa ke sana
umat kekal bahagia selamanya

Syair Maulidur menutup kalam
kepada Baginda selawat serta salam
selagi bernyawa tidak terpadam
restu Tuhan siang ke malam

Hamizun Syah
09.10.2022

12. Hamizun Syah (2)

HAIKU MAULIDUR RASUL

1.
Maulidur Rasul
selawat berjemaah
syafaat ummah

2.
Rabi Ul-Awwal
lahir Rasul terpuji
syariat Islam

3.
Askar bergajah
tewas dendam Abrahah
bermula dakwah

Hamizun Syah
Langgar, Kedah

13. Moh. Ghufron Cholid

Hal-hal Terantik Kelahiranmu, Baginda

Semesta yang diliput cahaya
Kelahiranmu, baginda
Arca-arca sekitar kakbah gemetar
Runtuh dan runtuh
Sementara api yang begitu perkasa
Ribuan tahun menyala
Seketika padam hilang rupa

Segala tentangmu ya Nabi
Alamat hati terpikat cinta
Alamat cinta
Yang mengalahkan megah dunia

Suwaibah, budak serata tanah
Berkat mengabarkan kelahiranku, baginda
Merdeka pikiran, merdeka jiwa

Abu Lahab yang telah tersemat kayu bakar neraka
Berkat bahagia kelahiranmu
Tiap senin terbebas dari duka-nestapa

Mengungkap hal-hal terantik kelahiranmu, baginda
Takkan pernah cukup meski
Tujuh petala langit dan bumi
Jadi kertas dan tinta
Sekedar mengisahkanmu, baginda

Moh. Ghufron Cholid
Madura, 2022

14. Haji Zainul Ayob

Junjungan yang Mulia Rasullullah
Pesuruh Agung pilihan ALLAH SWT
Penyelamat Umat Sejagat
Untuk seluruh Umat
Di seluruh pelusuk Alam

Rintangan di permulaan
Sabar menempuh segalanya
Dengan Wahyu yang jelas terang
Memandu semuanya ke Jalan yang lurus
Selepas Berhijrah ke Madinah
Terus tersebar luas Akidah, Keimanan, Ketaqwaan…

10.10.2022
Hajizainul Ayob.

15. Paridah Ishak

NAZAM  MAULIDUR RASUL

Ya Allah Tuhan kami Yang Maha Esa
harap diampun akan segala dosa

Bismillah wadahku yang membuka karangan
selawat dan salam Rasul dijunjungan

Malidur Rasul ingatan kasih umat
hari sejarah lahir nabi Muhammad

Menjunjung rahmat-Nya ke alam dunia
beserta segala limpahan kurnia

Tegar semangat juang bukan kepalang
syiar nur Islam menerangi alam cemerlang

Nabi Muhammad Rasulullah insan budiman
pada umat tarbiah ilmu pedoman

Sentuhan baginda laksana sempurna
tinggalkan umatnya cinta nan bermakna

Selawat dan salam lidahku berzikir
hamba yang marhaen teramatnya fakir

Karangan nazamku berakhirlah sudah,
kumohon maafkan coretan menggundah.

Ya Allah Tuhan kami Yang Maha Esa,
harap diampun akan segala dosa

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
10/10/022

16. Paridah Ishak (2)

PUISI IKATAN BERIMA

RASULULLAH

Mula bismillah melafaz kata
selawat dan  salam Rasul tercinta
bonda kandungnya nama Aminah
lahir Muhammad di tahun gajah
.
Bonda berpulang pada Ilahi,
yatim piatu seorang diri,
nenda mengasuh melimpah kasih
cucunda tertib jiwanya persih

Abdul. Mutalib nendanya nabi
menumpah kasih anugerah Rabbi
Nabi utusan yang Rahim Rahman
kepada umat di akhir zaman

Maulidur Rasul kenangan kekal
nabi Muhammad idola cekal
syiar Islam syariat dijulang
meski berbilang dugaan halang

Nabi Muhammad tersurat sudah
sebar risalah Allah permudah
gagah berjuang bukan kepalang
bertumpah darah berputih tulang
.
Berhati suci sifat mahmudah
demi ummati di hujung lidah
dakwah tarbiah ilmu pedoman
taat setia teguh beriman.

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
10/10/022

17. Mohd Shukri bin Hussin

segenggam harap

di tanganku
ada segenggam harap
agar di hari hitungan nanti
dihulur padaku kitab amalan
ke tangan kananku
asbab cintaku
asbab kasihku
buatmu Baginda Nabi.

di atmaku
ada segenggam harap
agar di Neraca Mizan nanti
syafaatmu terlajur buatku
asbab selawatku
asbab qasidah pujianku
buatmu Penghulu Nabi.

biar aku dikata ghuluw
semua itu tak kuendah
demi mahabbahku buat sang qudwah hasanah
yang kudamba
yang kupuja
semoga bersua kita nanti di Firdaus abadi.

inilah segenggam harap
kejap kukepal
bergentayangan syahdu
dalam rintih munajat
di saat rindu bertamu
waima kita tak pernah bertemu.

Mohd Shukri bin Hussin
Bandar Bera
10 Oktober 2022

18. Ahmad David Kholilurrahman

TIADA SEORANG PUN DAPAT MEMADAMKAN CINTAKU PADAMU, YA RASULULLAH

AHMAD DAVID KHOLILURRAHMAN

Walau lebih separuh penduduk bumi bukan umatmu,
Ya Rasulullah, takkan seorang pun dapat memadamkan cinta padamu

Cintaku padamu lebih dari nyala suria,
Mengatasi semarak terang benderang

Cintaku padamu lebih dari cahaya purnama
Mengalahkan sempurna pelita kandil

Segala badai hasad dialamatkan padamu,
Tak mengalihkan haluan markab bahteraku

Barangkali aku mengalami maut cinta kepada makhluk selainmu,
Tapi cinta padamu senantiasa hidup abadi bukan untuk tugas kurun abad waktu merikin-rikin hitung

Segala dacing timbang patah,
Segala mata ukur punah
Segala deret hitung musnah

Tersebab,
Cinta padamu terpatri sejati sedari azali
Rindu padamu mencahari sunnahmu teruji
Harap padamu mengucap shalawat berarti

Sajakku hanya daki kemalau,
Berani diri merindui bait-bait tergores dawat meniti jalanmu

Sajakku hanya sawang bungin,
Memberani diri mengais atsarmu tersimpan lembaran sirah periwayat hidupmu

Tiada seorang pun di.muka bumi ini,
Dapat memadamkan jiwa hati pikiranku senantiasa meleleh airmata kerinduan dalam kesunyian jauh gelanggang mata khalayak Matā” al-Ghurūr

Jambi,
14 Rabi’ al-Awwal 1444 H/10 Oktober 2022 M

19. Gabriel Kimjuan

PERJUANGAN SIRAH RASULULLAH

Langit saksi kejadian
mukjizat dalam takungan iman
membasuh kolam penyucian
takwa ke dalam perjuangan
berdakwah setiap perjalanan
wahyu dari cahaya Tuhan
solawat hingga ke akhir zaman
pujian pada sebuah perkataan
biar tanam ke taman keikhlasan
kerana dia petunjuk kebenaran
dimuliakan pencipta maha kerinduan
hari ini dia lahir limpahkan ajaran
dari sebuah cahaya bernama Al-Quran
perjuangannya sentiasa berjalan
melahirkan umat tanpa perpecahan

Karya;
Gabriel Kimjuan
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.

20. K. Manja

ANTARA  PAHAT HASRAT

Asah dulu mata nawaitu
     sebelum bingar akas menukul 
kerana tukul cendekia tak pernah tumpul
biar berbetul tertib  cara siaga
jangan nanti disergah kendala 
asyik menuding menyalah 
helah karenah pengasah 
mata pahat bak kireji nuansa
memotong atau terpotong usia
tawa nan luka
nanti nestapa dibalut indah impi
bagai arca bercempera imaji 
cuma kemilau lauzuardi pelangi
tidak lagi membuang kayu 
tidak nanti pahat berbunyi
indah rumah tegap berdiri
jadilah tukang yang benar-benar ahli
dan sebelum bukan setelah
persiap semua perkakas
tajam mata pahat tekad
agar tegak rumah cita 
bukan sekadar impian
berdiri tidak sempurna
roboh tidak terpeduli

©K.MANJA
Tmn H.Melintang
10102022

KEPUTUSAN

Kami masih menunggu keputusan dari pengadil. Mohon bersabar.

TAMAT.