Para pemenang sayembara adalah mereka yang dapat menghadirkan ulasan berkaitan dengan pesan utama di dalam sajak “Makmum di Saf ke-1”.
Grup WhatsApp E-Sastera Vaganza ASEAN yang dikelola oleh Gaksa kembali mengadakan sayembara menulis. Sayembara yang berakhir pada 10 Mei 2023 ini mengulas sajak “Makmum di Saf ke-1” karya Irwan Abu Bakar dan diikuti oleh penulis dari Malaysia dan Indonesia. Sajak tersebut telah diterbitkan di dalam buku kumpulan sajak “AM Ke PM”, Kuala Lumpur, eSastera Enterprise, 2020.
Sejak awal diumumkan, panitia memberikan batasan wilayah pembahasan, yakni secara ringkas (tidak bertele-tele) fokus pada pesan yang dikehendaki penyair melalui sajak tersebut.
Menurut panel juri, “Setiap buah karya sastera mengandungi mesej (pesanan) yang mahu disampaikan penulisnya kepada pembaca. Pesanan ini merupakan hal utama walaupun karya itu sendiri dipersembahkan melalui pelbagai genre dan stail (yang kedua-duanya juga penting dalam menentukan kualiti karya). Untuk sayembara kali ini, penganjur meminta supaya pengulas menegaskan mesej yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Namun pihak pengadil juga memberikan perhatian terhadap aspek-aspek lain karya yang disentuh oleh pengulas.”
Berdasarkan pertimbangan tersebut, panel juri memutuskan tiga nama pemenang. Pemenang ketiga diraih oleh Sujata Wee, pemenang kedua diraih oleh Nurimas SN, dan pemenang pertama diraih oleh Muhammad Barcov Firdaus dengan judul ulasan yang cukup provokatif, “MEMBACA LETAK SURGA DALAM SAJAK MAKMUM DI SAF KE-1”.
Para pemenang berhak mendapatkan hadiah masing-masing RM500, RM200, dan RM50.
Berikut sajak yang diulas di dalam sayembara yang dimaksud:
MAKMUM DI SAF KE-1
Aku tertolak ke saf pertama di solat Subuh di masjid itu
tidak layak aku di situ
kiri kanan orang alim-alim belaka
mereka berjubah putih panjang dan berserban
sekurang-kurangnya berpelikat baharu dan bersongkok putih
pakaian dan badan harum baunya disembur pewangi dari Mekah
tidak layak di situ aku yang ber-Tshirt tanpa kolar, seluar jean ketat, dan rambut terdedah.
Makmum di kiri kananku alim-alim belaka
amat bersistem duduk dan geraknya
tidak bangkit mereka untuk bersolat sebelum bilal berqamat menyebut “Hai ya alas solat”
tidak bergerak tunduk rukuk sebelum imam sempurna di kedudukan rukuk
dari berdiri tegak tidak mereka bergerak sebelum dahi imam sempurna duduknya di sejadah
memang tidak bergerak mereka mengikut gerakan imam
sebelum imam sudah sempurna tiba di sesuatu kedudukan
lamanya sujud akhir mereka sehingga kusangka mereka telah terlelap tidur
tidak memberi salam kanan mereka, sebelum imam selesai salam kirinya.
Selesai solat mereka tidak bergegas bangun tetapi tekal di kedudukan
bersama imam berzikir hingga tamat mengamimkan doa imam di akhir lantas disalam tangan imam.
Selesai segala-galanya, aku berdoa:
“Ya Allah, tumpangkan aku yang ber-Tshirt tanpa kolar, seluar jean ketat, dan rambut terdedah ini
bersama-sama mereka apabila kelak mereka ke syurga dan aku di tahan nanti.”
Selesai solat begegas aku ke kedai Mamak menikmati sarapan
sekeping roti canai dan segelas teh tarik panas kupesan
datang orang-orang dari saf pertama solat Subuh di masjid tadi
mereka berjubah putih panjang dan berserban, sekurang-kurangnya berpelikat baharu dan bersongkok putih
pakaian dan badan harum baunya disembur pewangi dari Mekah
duduk semeja dengan aku yang ber-Tshirt tanpa kolar, seluar jean ketat, dan rambut terdedah
makan juga mereka setiap seorang roti canai sekeping dan teh tarik panas segelas.
Selesai makan aku ke kaunter dan aku bayarkan makanan untuk semua
tersentak mereka lalu mereka ramai-ramai berdoa
“Ya Allah, tumpangkan kami bersama-sama lelaki ini yang ikhlas sedekahnya
apabila kelak dia diusung masuk ke syurga dan kami ditahan nanti.”
Terpinga-pinga aku.
-IRWAN ABU BAKAR
Kuala Lumpur, 24.01.2017.
Gaksa | Sayembara | Esva #4 2023 | Sastra ASEAN

TAMAT.