SAYEMBARA ESVA 2/2023: 1 RAMADAN
Genre: Sajak.
Tema: Hari Pertama Ramadan.
Kepanjangan: Bebas.
Hadiah (Untuk tiga karya terbaik): RM100; RM80: RM70.
Tarikh Tutup: 10 Ramadan 1444 (1.04.2023) @ 11:59 PM [DILANJUTKAN KE SABTU 15.04.2023].
Emelkan karya ke: GaksaAsean@gmail.com
Selamat mencuba dan berjaya.
PENYERTAAN
PUSINGAN 1: TUTUP 1.04.2023
1.1. Oui Bin Sal. Hari Pertama Ramadan.
1.2. Moh. Ghufron Cholid. Ilustrasi Hati Seorang Putra Sulung di Lembar Pertama Puasa.
1.3. CT Nurza. Gemakan Dermaga Ini.
1.4. Ismail Hashim. Menyantuni Ramadan.
1.5. Ega prayoga. Puisi Puasa Hari Pertama Ramadhan.
1.6. Paridah Ishak. Tetamu Mulia.
1.7. Salmah Amir. Aku Beriktikad.
1.8. Moh. Ghufron Cholid. Sudut Rindu.
1.9. Nurimas SN. Ramadan Pertama Seorang Cucu.
1.10. Mokhtar Rahman. Ramadan.
1.11. Rafael Maribin. Hari Pertama Ramadan Muncul Lagi.
1.12. Cunong Suraja. Ramadan Musim Semi.
1.13. Zuraida Dewi. Keikhlasan Ibadah.
1.14. Cunong Suraja. Ramadan.
1.15. Mokhtar Rahman. Ramadan: Puasa Dan Al-Quran.
1.16. Dian Hariani. Gerimis di Awal Ramadhan.
1.17. Noorlaila Ghafar. Ramadan Pertama.
PUSINGAN 2: TUTUP 15.04.2023
2.1. Isbedy Stiawan ZS. Pilih Sunyi Dan Masuk Ke Diri.
2.2. Maslina Mahbu @ Armiza Nila. Wahid Ramadan.
2.3. Mohd Adid Ab Rahman. Kalau Nanti Kau Mampu Tersenyum Sedang Genggam Bulan.
2.4. Zulkifli Baharun. Tetamu Teramat Mulia.
KARYA
1.1.
HARI PERTAMA RAMADAN
Syaaban ditinggal pergi
Ramadan bertandang lagi
Hari pertama Ramadan ini
kemaafan dihulur penuh bererti
tanda kesyukuran nikmat diberi
kebesaran tuhan maha mengasihi
terangkum di jiwa nurani
masyarakat makmur madani
memancar keinsafan kendiri
pada kemuliaan bulan suci.
OUI BIN SAL,
Tanah Merah, Kelantan.
1.2.
Ilustrasi Hati Seorang Putra Sulung di Lembar Pertama Puasa
Puasa sudah tersenyum mesra
Kebahagiaan menetap di dada
Namun ada yang berbeda
Aba dan ummi telah menjadi kekasih tercinta
Yang Maha Sempurna
Rindu pada aba dan ummi semakin tumbuh
Perih tak lagi bisa kutaklukkan
Mengingat aba dan ummi bukan hanya milikku
Mengingat hidup persinggahan
Mengikhlaskan kepergian
Cara terbaik menuju khusyuk
Cara terbaik melenyapkan kutuk
Memang terasa tak lengkap puasa tanpa aba dan ummi
Namun puasa tetap mesti dilanjutkan
Istiqamah mesti tetap dihidupkan
Berharap menjadi wasilah bagi aba dan ummi
Bertempat megah di sisi Ilahi
Moh. Ghufron Cholid
Madura, 1 Ramadhan 1444 H
1.3.
GEMAKAN DERMAGA INI
Telah lama menunggu
di dermaga Ramadan
senja tiba hati berbunga
perahu iman mudik merapat
membawa iftar cinta al-qudus
Dermaga ini kembali meriah
merai menyambut tetamu tiba
menebar wangian amal
meski sebesar zarah
Bersama kita gemakan
dermaga ini dengan kunjungan istighfar, tarawih dan tadarus
kita nikmati lazatnya moreh berqiamulail
kita hirup segarnya arumi kasturi syurgawi
sambil meraih berkatnya sahur dalam Nur kasih Ar-Rahman.
Di dermaga Ramadan
ayuh persiapkan diri menanti
menyantuni manisnya kehadiran al-Qadar.
CT NURZA
Jerantut, Pahang
1 Ramadan 1444H
1.4.
MENYANTUNI RAMADAN
Menyantuni Ramadan
segala wajib dan sunat
janji dan amalanku
sepanjang bulan
bukan sekadar
lapar dan dahaga
menunda gejolak nafsu ke senja
menjauhkan perkara yang batil
membersihkan jelaga kekusutan
merasakan nikmat
waktu berbuka
talian iman dan persaudaraan
samar dan kejernihan
adalah perolehan dalam
keberkahan
hingga ke malam akhir
fajar Syawal mulai
menyingsing!
Ismail Hashim.
23.03.2023
1.5.
Puisi Puasa Hari Pertama Ramadhan
Puisi selalu puasa dari keberlimpahan
kata dan mainan metafora yang sia.
Lalu apakah yang dapat dikata oleh puisi
di puasa Ramadhan hari pertama?
Lapar dan dahaga yang gembira
adalah sepasukan pedang perang badar
bagi jiwa-jiwa yang senantiasa gusar;
puisi mendaras seperti bibir Muhammad
yang ditemui Jibril di gua Hira.
Puisi di hari pertama Ramadhan puasa
sejarak subuh ke magrib meniti
mencari makna waktu berbuka
di akhir perjalanan cahaya matahari
Ega Prayoga.
RSA, 2023
1.6.
TETAMU MULIA
Hari ini Khamis 2003023 Masihi
Ramadan 1444 Hijrah
hadir menyapa berselisih Syaaban
kala awal maghrib
menghulur salam rahmah tersenyum anggun
membawa bungkusan berkah
hadiah istimewa mutiara pahala
dari puncak firdausi anugerah Dia
Ahlan wasahlan ya Ramadan al-Mubarak
kudakap erat penuh cinta
beriring tarawih kusyuk tawaduk
malam Khamis bersahur sebelum imsak
mengeja patah al-Quran santun tertib
saat giat menyemai benih ibadah
bersimpuh menadah doa afiah
memohon reda keampunan
mensuci dosa jiwa raga
mencita janji lailatulqadar
malam sepuluh akhir berseli
cahaya pelita tujuh likur
adat bertemu akan berpisah jua
sayu enggan lepaskan Ramadan pergi
pasti kembali takwim Hijrah baharu
tapi mungkin aku telah tiada
di sini
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah, 24/03/023
1.7.
AKU BERITIKAD
Entah kenapa Ramadan kali ini
aku terasa sangat
gusar, sayup, sedih
dan hina
terasa ingin segera kembali
ke pangkuan-Mu ya Ilahi
ampunkan hamba-Mu ini
bukan aku bermohon
melawan takdir-Mu
tapi begitulah perasaanku
yang ada dalam benak sanubariku
Kadang kala
aku terlepas dari imanku
jika aku tidak kuat
hanyutlah diri ini
dari keredaan-Mu
dengarkanlah
suara hatiku berbisik
dari mindaku yang serba gusar
perasaanku yang bercampur baur
mengaruk entah mengapa
Kadang kala aku
memikirkan ibu ayahku
yang sudah lama tiada
kasih mereka yang sejati mulia tidak ternilai
aku tidak dapat merasakan lagi
ibu di usia sembilan puluh tahun masih boleh beribadah dengan kemas dan solat berdiri
dahinya masih mampu
mencecah kebumi
merendahkan diri terhadap-Mu ya Ilahi
tapi aku
di hari pertama Ramadan
aku sudah tewas
tiba-tiba kaki kiriku sakit
aku solat duduk
di mana mungkin
aku dapat merendahkan diriku
sehabis rendah
mencium bumi
aku terasa amat kecewa
dengan kesihatanku
di hari pertama Ramadan
Aku bertanya lagi pada diriku
dipanjangkan umurku
untuk apa lagi
bukan aku persoalkan perancangan-Mu
atau ketentuan dan takdir Ilahi
tapi kerap terlintas
bila bersendiri
sebelum Allahyarhamah anakku
kembali pada-Mu
satu satunya anakku
aku dan suami punya banyak
wawasan hidup
memberi anakku kasih sayang
mendewasakan hidupnya
di samping membentuknya
menjadi insan sebaiknya
Kini aku tiada sesiapa
ibu bapa untuk aku hormati lagi
tempataku curahkan kasih
dan dapatkan kasihi oleh mereka
Dahulu aku dapat membelanjakan wangku yang kuterima setiap bulan
aku belanjakan untuk mereka yang aku cinta
aku rasa puas dapat memberi
kepada mereka yang aku kasih
dulu anakku selalu minta aku wang ke sekolah
membeli pakaian, makanan
dan semua yang dia suka
aku juga akan belanjakan ibu dan ayahku
apa yang mereka suka
walaupun aku bersedekah jariah
tidak sama rasanya
seperti rasa anakku yang minta
untuk itu dan ini
Perasaanku yang bercampur gaul
tiba tiba teringat
untuk aku beriktikad
aku mula menjadi
orang baik dari yang terbaik
aku ingin lebih banyak
berkhalwat dengan-Mu
aku ingin lebih
mengabdikan diri kerana-Mu
apa yangku buat hanya
menjurus semata untuk-Mu
aku tidak ingin lagi berpoya santai
banyak menghabiskan masa untuk dunia fana ini
aku segera bermohon
agar aku diketemukan
malam teristimewa di bulan Ramadan
malam Lailatulqadar
agar aku bisa bermohon
aku berubah seperti
iktikadku
aku tidak mahu lalai dan alpa
ingin menjadi hamba-Mu yang setia
sangat dekat dengan-Mu
agar aku bisa bertemu
dengan-Mu di akhirat kelak
itulah iktikadku pada bulan Ramadan di hari pertama aku solat maghrib
semoga doaku dimakbulkan
Salmah Amir
Cyberjaya, 24.3.2023
1.8.
SUDUT RINDU
Lembar pertama ramadhan
Tak kutemukan selain kenangan
Menetap dalam ingatan
Rasanya baru kemarin
Sendok dan garpu bercakap
Tentangmu ummi
Hatimu yang asri
Kini kau tak lagi di sisi
Ilahi lebih sempurna mencintai ummi
Sebagai anak yang lahir dari rahim doamu
Aku tak pernah berhenti diburu rindu
Hatiku, remuk
Sebab tak dapat menyaksikan senyummu
Menyadari kau tak hanya milikku
Menyadari keabadian hanyalah semu
Kutempuh mengikhlaskanmu
Barangkali segala perih tercerabut dari hatiku
Moh. Ghufron Cholid
Junglorong, 24 Maret 2023
1.9.
RAMADAN PERTAMA SEORANG CUCU
Telah tersurat
Syariat itu diturunkan
Sebagaimana ummat awal
Menguji taqwa lapar dahaga.
Seorang cucu mencuba
Pada hijau banir usia
Permulaan yang sukar
Namun semangatnya kekar.
Berbalam wajahnya nan lesi
Sambil rengeknya kakek mengerti
Namun dia juga punya visi
Kalah percuma jangan sekali!
Sedetik lagi geduk berbunyi
Kudrat hilang puing gentayangan
Separa sedar jasad kelihatan
Namun dikuasakan sumbu cucunya
Hingga azan mengganda tenaga.
Syukur cucuku bisa menamatkan
kembara lapar yang panjang
Biar hampir ditewas kepayahan
Namun tega bersabung
Pahala iftar kau beruntung.
Kakekmu mengerti
Lewat momen tuntas dilalui
Kerana dirinya sering tumpas
Gelepar dan putus asa
Pada Ramadan pertama.
Nurimas SN
01 Ramadan 1444H
1.10.
RAMADAN
Ramadan sudah di ambang kota
menggalas pelbagai karung rahmat
berisi biji-biji pahala
buat segala amal ibadat,
Selamat datang, ahlan wasahlan
wahai Ramadan permata nilam
hadirmu dengan serba ganjaran,
hiasan puasa, solat malam …,
Lewat semusim kamu bersama
saatnya kami mengisi ruang
bertaubat atas segala dosa
sebelum kamu berangkat pulang,
Sudah terubat rindunya kami
Ramadan Mubarak yang dinanti.
MOKHTAR RAHMAN
Alor Setar, 25 Mac 2023
1.11.
Hari Pertama Ramadan Muncul Lagi
Hari pertama ramadan muncul lagi
tak terasa setahun telah berlalu
duduk termenung di hari ini
rupanya telah tua usiaku
belum banyak amal ibadah
yang kupersembahkan kepada-Nya
kuterima segala nikmat-Nya
sedangkan aku mengirimkan dosa
bulan suci ramadan
janji dihati untuk berubah
kepada-Nya aku memohon
mengampuni segala salah.
Rafael Maribin
Kota Kinabalu, Sabah.
1.12.
RAMADAN MUSIM SEMI
miring jiwa terasa kiri sama ajaib
sakit melayang dalam angan menceritakan
terbanting ranjang biru waktu jauh jari lesap
terdengar adzan merenda mimpi hari nasi putih
sebakul sepi miring warung pantai tumpah batu bara
dasar irama perut mengelus buncit
Jumat corona meluncur deras menjauh
terdengar azan tersedak air musim
meniarap di bumi waktu tidur bunga
menenggak soda waktu putus temali cinta
meluncur deras tertuang dingin dimandikan
terik matahari siang waktu bedug masjid bertalu
sapaan ramah asal tanda sudah tamat lumat
siap saji sepinggan tak satu kemasan budaya
tanpa terasa dua jam berlalu mengerdip
Cunong Suraja.
Columbus, Mon. Mar 27 20 23 03:05 am
1.13.
KEIKHLASAN IBADAH
Bulan kunanti tiba jua
Ramadan
setiap hati kuhitung hari
rindu
setahun hanya sebulan
hadirmu menghiasi
Ramadan pertama
kuikhlaskan hati beribadah
kukunci lidah
pekakkan telinga
pejamkan mata
harapan
tidak kudengar
kulihat kuumpat segala
keburukan orang
tekadku mencari keredaan Allah
sucikan hati dalam beramal
sombong riak takabur
kubuang jauh
Ramadan pertama
aku puasa dengan penuh syukur
menahan lapar dahaga
juga nafsu bergelora
kurantai dengan istighfar
Ramadan pertama
menguji iman
kepada Ilahi mohon petunjuk
kekuatan kesabaran
melangkah aku
masuk ke pintu bulan mulia
Ramadan
lailatulqadar tetap kuimpi
bertemu
Zuraida Dewi
Padang Serai, Kedah
1.14.
RAMADAN 2
sepasang sayap cantik kupu-kupu kemarau
pagi bersinar-sinar semua semiotika bergetar merontokkan
diorama bulu monyet melayang tertahan didera
hembusan musim semi menggulung selera berita
bebungaan menyuarakan aroma birahi bayang-bayang lembut
tetapi lunglai dipintu anjungan tunai mandiri
tak menawarkan kegagahan menantang
lelampuan super market migrasi musim kabut asap
hurup kata kalimat berpendar wajah malam turun
bayang-bayang berkilauan berputar dalam dada
bulan raja hadir lingkaran semut
menari berputar harum semerbak cadar
bentuk warna retak terganggu detak
mengganggu padang cinta terbentang berkilauan
tembang malam bulan menyabit diam
antara bintang citra imajinasi hujan
dalam panah api semak malam
mereguk madu fajar bintang bersama bulan
pantulan terserap semut melingkar bayang-bayang
mentari di ubun-ubun dalam kaumnya nada
bintang tembang bulan berpijar menepis
semak duri melingkar meja panjang pelangi
mereguk minuman turun gudang cukup sedia
bulan mereguk pancaran wajah sendiri
berbunga janji asap tujuhpuluh lapis
purnama menyingkap kandungan buah berkisah
benih air mengalir jernih segar
tembang semilir angin wajah malam
bintang tertutup awan suram taman-taman kota
terbentang bulan melesat ke dada fajar
arus gelombang bayangan terkecup nada
jantan lebah nyalang kepayang waktu
mawar merah ikan tawar asin meliuk
riang berputar dalam pegas gerak
mentari menanti siang tercurah hujan
senandung dada api nyala senandung
kelopak merah fajar gelora setanggi
terbakar harum telinga bersemi kening
dalam ombak gelombang malam melodi
bintang berdenting lingkaran tergenang cahaya
manis mengalir dalam cawan nama-nama
dalam meja-meja mereguk segar keindahan
bayangan terserap ke dalam api membakar
Cunong Suraja.
Columbus, Thu Mar 30 20 23 11:01 am
1.15.
RAMADAN: PUASA DAN AL-QURAN
Tiada bulan yang lebih syahdu
selain Ramadan Al-Mubarak
menyaksi iman kian semarak
teguh berpaut membelai rindu,
Saat puasa, insafnya diri
pada insan yang lapar dahaga,
lelah, uzur dan meminta-minta
sedang kalian jenuh rezeki,
Ramadan infak seribu rahmat
ganjaran pahala, limpah ruah
mengisi ruang taman ibadat,
Terus bersama kita imarah
turunnya Al-Quran dan mukjizat
malam Al-Qadar, malam barokah.
Mokhtar Rahman
Alor Setar, 1 April 2023
1.16.
Gerimis di Awal Ramadhan
Bulir dari langit mencumbu bumi
Sentuh hati dengan aroma mewangi
Semerbak, harum, menawan
Seharum hadirmu, Ramadhan
Berebut seluruh umat
Berlomba-lomba tebar manfaat
Bermunajat…
Menjemput berkat dan syafaat
Tua muda tiada gelisah
Tertunduk, khusyuk dalam ibadah
Lillah ….
Suka cita menyambut berkah
Gerimis di awal Ramadhan
Sentuhan cinta penuh kesejukan
Nafsu, lapar, dahaga tertahan
Berharap uluran tangan Sang Pemilik Alam
Dian Hariani
Nganjuk, Indonesia, 31 Maret 2023
1.17.
RAMADAN PERTAMA
Maghrib ini kembali bertemu
pada satu permulaan setelah setahun
menunggu rindu hadir kekasih
mewangi harum takwa.
Bermula pengorbanan menguji iman
tercermin cekal tidak
sepanjang malam qiamullail
sepanjang siang menunduk nafsu.
Inilah waktu mulai mengukuh peribadi
dengan tafakur mengenal diri
menjunjung cinta kekasih abadi
Ramadan menjelang
kita terus berjuang.
Syaitan diikat adalah anologi
andai mukmin Ramadan
menjaga adab puasa zahir batin
pasti gagal menggoda
iblis ingkar umpama terpenjara.
Satu Ramadan
mulai malam seputih doa
peluang dibebas daripada
pedih azab nyala api neraka
setiap waktu berbuka.
Kita mulai perjalanan Ramadan pertama
dengan kalimah bismillah
“Ya Allah, bebaskan kami daripada
belenggu api neraka.”
“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah
Yang Maha Pengampun dan amat suka
akan pengampunan, maka ampunilah aku.”
NOORLAILA GHAFAR
Jertih, Terengganu.
10 Ramadan 1444H
2.1.
Isbedy Stiawan ZS
PILIH SUNYI
DAN MASUK KE DIRI
kaupilih sunyi
menikmati ruang
yang tak girang
kaumasuk ke diri
menghindar riuh
atau jeratan
kaupilih aku
tadarusmu
hingga ke bilikku
yang maha
wahai hamba
*
kubiarkan lembar buku ini
tetap kosong
mungkin kau akan memberi
jejak pertama
lalu kita bubuhi tanda berikut
setiap perjalanan
kalau lembar buku ini
kuisi dengan jejakku
siapa kelak yang meneruskan
selain kau?
maka kubiarkan kosong dan terbuka
kuingin kau menulis
dan menandai sebagai jejak
lalu aku meneruskan
kelak itulah sejarah kita
*
setengah perjalanan
menuju pelabuhan
lalu berpesta di lautan
untuk suatu kemenangan
aku menang?
hanya kau yang mencatat
*
tetaplah bersamaku
di bawah matahari
di antara bulan
panas maupun hujan
melangkah, dan ingat
setiap lalai. lalu rapikan
hurufhuruf yang salah
sampai yang terbaca
“riang dan benderang.”
usah menyingkir
ke mana berjalan
bulan, matahari,
hujan ataupun terik
akan menjumpai
“maka tetaplah
bersamaku.”
*
kau akan bercerita?
aku mau mendengar,
duduk bersila sebagai mursyid
dan aku murid
di hadapanmu
berwaktuwaktu. pada
sepertiga malam
kujadwal pertemuan
“kali ini lengang…”
sebelas anak tangga
tersedia untuk kunaiki
seribu purnama menanti
- menarinari
2023
—————
Isbedy Stiawan ZS adalah penyair Indonesia asal Lampung. Buku puisi terbarunya
Masuk ke Tubuh Anak-Anak (Pustaka Jaya, 2022), Ketika Aku Pulang (Siger
Publisher, 2023), dan Biografi Kota dan Kita (basabasi, 2023).
2.2.
Sajak: Wahid Ramadan
Karya: Maslina Mahbu@Armiza Nila
Wahid Ramadan
adalah mula kesadaran
mengetuk pintu-pintu hati
nan keras
nan liat
nan tegar!
Wahid Ramadan
kupujuk nurani sendu
bertaranum buah ranum
mengaji, mengkaji, memahami
setiap patah huruf
tersedia gendong pahala.
Sukma terjentik lagi
berebut-rebut mengisi waktu
tak terdapat pada bulan lain
hanya Ramadan Mubarak nan satu
menyentuh kalbu – sujud tunduk malu
pendosa pulang ke pangkal jalan.
Kampung Semariang Batu
10 April 2023.
2.3.
Kalau Nanti Kau Mampu Tersenyum Sedang Genggam Bulan
Aku tak berhenti dorong ke mana mimpimu
doa embun pun terus mengalir di sungai permai nuju muara
seperti anak benih kusiram kupupuk penuh perhatian
memastikan tumbuh subur menghijau memukau
dan menerbitkan buah madu
Kuatkan kakimu melangkah tanpa toleh kiri kanan
usah mengeluh kerana pencarian memang memenatkan
jika tiada ketahanan pasti kan deritai mudah mengalah
terbaring lesu di bentang pahitnya kecewa
anganan jadi potongan sia-sia
Seperti ibadah puasa di bulan Ramadan
Mesti dijalani terus teriring sabar dan sedar
tahan cengkam keletihan diuji dahaga lapar
nanti Tuhan kan hulurkan sebuah kegembiraan tak terucap
takwa bertambah mantap
Kalau nanti kau mampu tersenyum sedang genggam bulan
itulah sebenarnya kebahagiaanku
Karya,
MOHD ADID AB RAHMAN
JB572 JLN 6, TAMAN JUS PERDANA
77500 SELANDAR
MELAKA,
19 MAC, 2023
2.4.
TETAMU TERAMAT MULIA
Kutemui lagi dikau, Ramadan
di ambang maghfirah ini
terima kasih kerana masih sudi menjengah diriku
dalam hiruk-pikuk kehidupan
maafkan aku lantaran tidak menantimu
di muka pintu sejahtera ini
bajuku pun belum ditukar baharu
tidak seperti engkau
masih bersih dan wangi seperti dahulu.
Kulihat di tanganmu itu
ada buah-buah manis syurgawi
untukku dan seluruh keluargaku
di tanganmu ada kitabullah
untuk kami mesrai dan dampingi
oh…kitab di rumahku tidak sentiasa kubuka
apatah lagi untuk ditadabbur
rasa sesal menyelinap ke seluruh darah
betapa aku terleka dan terlena
dalam deru kefanaan.
Oh, Tuhan
dengan limpah rahmat-Mu
jadikanlah malam Ramadan pertama ini
sebagai penghapus titik-titik kesombongan
untuk aku menyantuni tetamu
yang sungguh mulia
di rumah pengabdian.
ZULKIFLI BAHARUN
Bera, Pahang
KEPUTUSAN
17.04.2023. Kami sedang menunggu keputusan dari pengadil. Para peserta diminta besabar.
TAMAT.