Gadis tersenyum bertudung sutera,
langkah tersusun santun teratur;
Assalammualaikum dan salam mesra,
kusembahkan pantun untuk menghibur.
Di bawah titi dihulur joran,
Simpang siur ikan bernang,
Di dalam hati terasa hairan,
Ditanam nyiur berbuah pinang.
Petani hanya menanam padi,
ditanam sesuku padi paya;
Hati bertanya apa dah jadi,
biawak mengaku dirinya buaya.
Air serbat pemberian jiran,
beli betik dan buah terap;
Hujan yang lebat tapi kuhairan,
hanya setitik menimpa atap.
Mengail bamasa di laut dalam,
ombak memukul perahu berkajang;
Luar biasa kejadian alam,
bulan timbul di hari siang.
Ikan siakap dan ikan todak,
dekat muara bernang berdua;
Suara bercakap seperti budak,
rupanya suara seorang tua.
Pasang api pemanas dingin,
di ruang dapur baranya sekam;
Minuman kopi terasa masin,
rupanya tercampur serbuk garam.
Emas suasa cincin dipakai,
permata lawa warisan lama;
Berbuka puasa hidangan sungkai,
asam jawa disangka kurma.
Kuda berlari sangatlah laju,
melompat pagar berulang-alik;
Puas dicari koceknya baju,
baharu tersedar baju terbalik.
Di tanah lumpur tumbuh penggaga,
tanpa dibaja subur menjadi;
Terbangun tidur terpinga-pinga,
lewat senja disangka pagi.
Buah kuini buah papaya,
jual dikota di tamu libur;
Setakat ini pantun sahaya,
maaf dipinta semoga terhibur.
Oleh:

Gagak Rimba
19 Feb. 2023, 20.14 mlm.
Telamba, Telisai, Tutong, Brunei Darussalam.
TAMAT.