Genre: Sajak.
Panjang: Bebas.
Tempoh: 21-22.12.2022.
Hadiah: RM300; RM200; RM100.
Hantar karya ke: GaksaAsean@gmail.com
SAR
Hari ini hari ke-6 tragedi Batang Kali
Mayat seorang lelaki dewasa ditemui jam 11:16 pagi
Mayat ke-26 itu yang ditemui
Ditemui ia di Kawasan Pencarian Sektor B.
Tragedi tanah runtuh
11 buah jengkaut dan 9 ekor anjing
Menemui 26 orang mati.
Jumlah selamat 61
7 orang masih hilang.
Esok hari ketujuh operasi SAR
Esok hari terakhir
Kita hanya mampu berdoa.
Jom kita berdoa
Kepada Allah kita berdoa.
-IRWAN ABU BAKAR
Kuala Lumpur, 21.12.22.
PENYERTAAN
- Sujata Wee. “Telah Tersurat Musibah Itu”.
- Paridah Ishak. “Takdir Alam”.
- Cunong Suraja. “Nyanyian Biru”.
- Moh. Ghufron Cholid. “Surat Dari Madura Buat Batang Kali”.
- Hamimah. “Tragedi Hitam Batang Kali”.
- Moh. Ghufron Cholid. “Sketsa Batang Kali”.
- CT Nurza. “Hiba Disember”.
KARYA
1
TELAH TERSURAT MUSIBAH ITU
Di perbukitan sana
tanah mendap gelongsor bertindihan sedang
hujan bermusim rakus melempar dendam tanpa kesudahan lantas melembutkan huraian malah merapuhkan tunjang yang berjuntaian.
Sesiapa pun tidak menduga kehadiran yang ceria penuh harapan bermakna tetiba lunyai oleh musibah
mencatat khabar hiba tragedi ngeri tiada terperi.
Batang Kali engkau menjelma dalam sebutan melafaz musnah berjeda memori luka langsung raungan jeritan jua tangis berjela kehilangan saudara dan perbukitan ini telah merampas ketenangan menjelma trauma yang ternyata ditangisi melata.
Akan diingati menjadi iktibar
ada hikmah sebalik musibah tersembunyi seribu makna menjadi matang meniti suratan.
Sujata Wee
Kelantan
22 Disember 2022
2
TAKDIR ALAM
Dini 12 Disember 2022
awal Jumaat di Batang Kali
rempuhan hujan menjujuh
sekonyong-konyong gelungsur
tanah bukit menimbus lembah
69 terperangkap berkhemah
hujung malam membawa khabar walang
penyelamat ‘ SAR, BOMBA, STORM’
mengharung selut bencah
mengorek cari wujud diri bernafas
wahana jengkaut sebelas geledah
sembilan Anjing pengesan berlarian
menghidu nyawa mangsa berada
‘ground zero’ zon merah menimbun tanah gembur
temu 26 jasad gedi antara sektor beda
zon hijau 61 jumlah persona mangsa selamat berdiri
bersyukur pada Ilahi
untai jernih air mata
menangisi sahabat yang pergi
tidak kembali
enam hari terakhir pencarian berulang
22 Disember Khamis 2022
masih tujuh hilang
tragedi ngeri Batang Kali
petanda wajib waspada senantiasa
menjaga nyawa anugerah-Nya
tiap tika justeru
bencana tidak berbau
risiko kehilangan tidak mahu dirasakan
terlalu melukakan
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
22/12/02
3
NYANYIAN BIRU
tiada lagi
bertemu divaksin masker
tanpa dalam irama nada
tergenggam gerbang kasih
tanpa batas alam ilalang
pagi tak ingkar janji
tergenggam tiga
jeda ditusuk sekepung janji
batas sekeping hati tergenggam
tiga jeda hurup
batas tegak lurus
langit imajinasi
kasih tanpa bintang
bentang alam ilalang
pagi batas
nyanyian puisi terurai
sajak tuang
tanpa dalam irama nada
tergenggam gerbang kasih
tanpa batas
alam ilalang pagi
tak ingkar janji
ditusuk sekepung janji hurup
tergenggam tiga jeda batas bintang
membentang alam ilalang pagi
batas-batas sekeping hati
tergenggam tiga jeda tegak lurus
langit imajinasi kasih tanpa desah
tiada lagi bertemu
rindu bunda rinduku tersimpan
di gundukan tanah bernisan
tanpa dalam irama nada
tergenggam gerbang kasih tanpa batas
masker divaksin
alam ilalang pagi tak ingkar janji
ditusuk sekepung janji
tergenggam tiga jeda
tegak lurus langit imajinasi
kasih tanpa alam rangkaian kisah
yang terputus serentak oleh kisah duka lara
merana kemanakah akan kucari rinduku bila
tiada lagi bertemu
Cunong Suraja
Columbus, Thu Dec 22 20 22 04:45 pm
4.
SURAT DARI MADURA BUAT BATANG KALI
Angin berbisik pelan
Mengabarkan adamu yang didekap duka
Tubuhmu yang pesona
Seketika membentuk peta airmata
Aku berduka
Hatiku juga teriris
Namun hidup bukan hanya luka
Bukan hanya ketakberdayaan
Hidup mesti diterjemahkan dalam senyuman
Bangkit, bangkitlah dari keterpurukan
Sudah saatnya menata ulang
Kembali mewariskan kasih sayang
Mengasingkan linang dalam sajadah panjang
Bukankah selepas petang
Masih ada terang benderang yang mesti kita bagi
Bukankah duka yang datang
Bukan untuk diamini melainkan ditaklukkan
Moh. Ghufron Cholid
Junglorong, 22 Desember 2022
5
TRAGEDI HITAM BATANG KALI
Pahitnya sejarah hitam
tragedi Disember di musim percutian
Punah ranah khemah dibina
hasrat berlibur musnah
nyawa hilang sekelip mata
anak-anak sekolah
guru pengiring
ditelan runtuhan
tanah tapak perkhemahan
Akar tunjang tidak lagi mencengam
bumi lembut yang ditimpa hujan
tanah tinggi luruh bergelongsoran
pasak bumi kecundang
fana dunia gelap pandangan
Bukan sedikit raga terkorban
anggota penyelamat sukar mencari
mereka yang malang
tertimbus jauh ke dalam
Duhai pemimpin budiman
iktibar dari tragedi berulang
kemajuan biar sejajar keselamatan
gunung dan bukit usah digondolkan
musibah punca hakisan
22.12.2022
HamimaH
Kluang Johor
Malaysia.
6
SKETSA BATANG KALI
Sepanjang 300 meter
Setinggi 70 meter
Tiang-tiang harapan runtuh
Tertimbun riuh
Tanah-tanah menumbuhkan pepohonan pedih-perih
Batang Kali yang dulu memikat hati
Kini berlapis nyeri
Ada duka yang tak bisa disembunyikan
Ada luka yang tak bisa ditahan
Segala detak adalah kedukaan
Ada yang pelan-pelan didekap keputus-asaan
Ada pula yang berdiam dalam utuh kepasrahan kepada Tuhan
Tangan-tangan cinta berdatangan
Ikutserta mengasingkan kenestapaan
Selalu ada yang berduyun-duyun mengeratkan ikatan
Atas nama cinta dan kemanusiaan
Pelan-pelan Batang Kali bisa menyeka airmatanya
Moh. Ghufron Cholid
Junglorong, 22 Desember 2022
7
HIBA DISEMBER
Gema raungan bagai tidak kedengaran
ada tangisan di balik timbunan
menggigil tubuh menyaksikan runtuhan
tanah tanih menjadi cerun
panorama perbukitan membekas diingatan
Trauma mangsa bukan kepalang
kaum keluarga menjadi korban
mayat terperosok ditimbus jatuh
sukar dicari debar menanti
tangan menggapai tak mampu dicapai
Sungguh pilu teramat sadis
menanti berita sehari-hari
anjing-anjing pengesan dikerah mencari
eskavator menggali tiada henti
mengharap jasad ditemui
mereda kesugulan kaum keluarga
walau sekujur jenazah ditatang
Tragedi Batang Kali
menutup Disember dengan kehibaan
nyawa-nyawa terkorban di tapak perkhemahan
meluncur jasad ditimpa runtuhan
suara jeritan tenggelam di jurang.
CT NURZA
Jerantut, Pahang
22 Disember 2022.
KEPUTUSAN
xxx
TAMAT.