Berhias indah tudung saji,
manik dibubuh sulam digubah;
Benih bercambah dari biji,
muncul tumbuh separas tanah.

Ombak beralun bagai berlumba,
ikan gulama bernang ke teluk,
Mula berdaun sehelai dua,
diberi nama anak pokok.

Ayam berkokok di waktu pagi,
dapat didengar bersahut rapat;
Anak pokok berubah tinggi,
batangnya besar berdaun lebat.

Ayam berkokok berbunyi lantang,
nyaring bersambut bunyi mendayu;
Kini pokok bertukar matang,
sering disebut sepohon kayu.

Sayup mendayu bunyi bergema,
hati dijentik mendengar bang;
Sepohon kayu lalu berbunga,
bunga yang cantik idaman kumbang.

Tanam mangga di tepi sawah,
benih dicantum jadi tanaman;
Selepas berbunga pohon berbuah,
buah yang ranum dimakan haiwan.

Mendung kelabu langitpun kelam,
terdengar guntur dari jauh;
Di dahan kayu menjelang malam,
tempat tidur burung berteduh.

Ikan yu si ikan pari,
ikan temenung ikan siakap;
Di pohon kayu setiap hari,
banyak beburung terbang hinggap.

Bunga layu tidak disiram,
bunga dahlia kembang sepuput;
Pohon kayu bertukar muram,
pohonnya tua akarnya reput.

Pergi berhimpun majlis menjemput,
pulut kuning nasi bariani,
Bila pohon akarnya reput,
daun menguning gugur ke bumi.

Buah sukun dan buah anggur,
jual bersusun sebelah-menyebelah;
Akhirnya pohon menjadi punggur,
tidak berdaun menanti rebah.

Air bah di mana-mana,
penyu tuntung membuat sarang;
Pohon yang rebah kurang berguna,
menunggu untung dipunggut orang.

Air berubah banyak gulama,
pukat dihanyut di hujung teluk;
Pohon yang rebah ditukar nama,
lumrah disebut batang buruk.

Anak beruk si anak kera,
wajah kelakar lucu sekali;
Batang buruk sedikit berguna,
jadi pembakar unggunnya api.

Pokok cempedak akar berlingkar,
dalam tersuruk di mana sampai;
Kalau tidak jadi pembakar,
batang buruk dimakan anai.

Bunga kenanga bunga dahlia,
bunga melati terkulai layu;
Begitulah juga kita manusia,
nasib seperti sepohon kayu.

Buah kuini buah papaya,
jual digerai sememangnya banyak;
Setakat ini pantun sahaya,
tidak pemandai kurangnya bijak.

Oleh:

Noorhamy/Gagak Rimba
3T Brunei Drs., 03.10.2022, 11.03 pagi

TAMAT.