Oleh:

Paridah Ishak,
No.7 JLN 7F, Desa Melor, 48200 Serendah, Selangor DE.

Saat wabak COVID-19 gelombang kedua tularannya mengancam kesihatan warga negara dan seluruh dunia amat bimbang padah yang dibawa virus corona, aku tersentak dengan kehadiran POS LAJU menghantar sebuah bungkusan kiriman DBP. Anakku yang menerimanya membiarkannya tergeletak di atas kerusi. Kata anakku perlu dijemur dulu selama beberapa hari untuk menyah kuman sebelum boleh dibuka dan diketahui apakah isinya.

Keinginan yang mendesak terpaksa dipendamkan. Maka bersabarlah hati. Tatkala yakin telah tiba masa yang tepat, anakku membuka bungkusan itu. Terserlah enam buku tebal dengan judul KELARAI IMPIAN jelas tertera. Laju saja air mata membasahi pipi. Terharu sungguh.

Terima kasih banyak DBP dan semua editor penyelenggara kerana sudi terbitkan karyaku yang sederhana itu. Samasekali langsung tidak terduga akan kehadirannya saat ini. Pihak DBP tidak pernah memberitahuku akan perkembangan manuskrip bersama cd yang dihantar anakku Tn Uzaini ke DBP KL. pada 016. Setelah pihak DBP meneliti karyaku itu dan bersetuju menerbitkannya. Beberapa surat persetujuan berkenaan syarat penerbitan ditandatangani. Aku tidak kisah apa yang terjadi kepada manuskripku itu lagi selepas itu. Sebab aku pernah diberitahu sahabatku Penulis Noorlaila Ghafar, novelnya SURATAN terbitan DBP bahawa proses menerbitkan buku oleh DBP memang agak lambat dan mengambil masa.

Beliau menasihatkan aku agar sering bertanya, bersolat hajat dan berdoa. Hendak bertanya itu yang malas dibuat. Tapi bersolat hajat dan berdoa insyaa-Allah dibuat juga. Lebih lagi pada bulan Ramadan mulia kerana setiap doa hamba-Nya dimakbul Allah. Begitulah janji-Nya. Kalau tika berdoa kebetulan malam lailatul-qadar maka segera terangkat ke langit doa-doaku itu.

Admin grup MMSK (MARI MENULIS SASTERA KANAK-KANAK ) @FACEBOOK , cikgu Hamidi Md Yudin, telah menemui karyaku KELARAI IMPIAN dalam semakan manuskrip DBP @GOOGLE, Alhamdulillah. Beliau rajin membuat semakan karya di GOOGLE kerana beberapa karya beliau berada disitu dan ingin diketahui perkembangannya. Sekali lagi cikgu Hamidi memberitahuku KELARAI IMPIAN di peringkat pracetak. Cikgu Hamidi mengesyorkan agar aku bertanya. Hendak bertanya memang berat rasa hati. Boleh saja aku menulis emel pendek kepada editor berkenaan bertanyakan soal itu. Tapi tidak kulakukannya. Malas sungguh kan!

Aku berfikir mudah, kalau ada rezekiku tentu tidak kemana. Dan Allah akan menjatuhkannya ke pangkuanku jua. Alhamdulillah tidak sesia penatianku selama ini. Akhirnya hajatku memegang novel KELARAI IMPIAN menatapnya penuh bahagia Allah tunaikan.

Mengenang kisah aku menulis novel ini rasa pilu menyentuh hatiku. Tragedy aku terlibat kemalangan di lebuh raya Karak bersama keluargaku menyebabkan aku koma sebulan lamanya ada kaitan dengannya. Setelah sedar diri, lumpuh tidak bermaya pula. Aku dibawa pulang ke rumah ibu bapaku dan diberi rawatan tradisi. Aku bertenaga sedikit dan boleh menggerakkan tangan yang kanan walau sekujur tubuhku masih terbaring lesu.

Setiap hari aku menangisi kepayahan hidupku melaluinya. Sudahlah hilang upaya hilang suara pula. Semua keperluanku dibantu ibu bapaku. Tidak kugemari semua itu kerana aku tidak suka menyusahkan sesiapa. Menghadapi semuanya menekan perasaanku. Tidak dapat bersuara memang masalah besar kepadaku kerana aku tidak dapat meluahkan apa yang terpendam dihatiku membalas kata-kata mereka yang menyakiti hatiku. Menangislah aku semahu-mahunya.

Tidak sudahnya aku menangis setiap hari meratapi nasib diri. Hidup terpaksa diteruskan selagi bernafas walau apapun keadaan diriku. Aku gembirakan hatiku dengan menulis kerana aku diberi Allah sedikit kekuatan untuk mengiring. Aku mulai menulis setiap hari. Tidak lagi hanya terlentang merenung siling menanti masa cepat berlalu. Mengharapkan esok membawa perubahan diri menjadi lebih baik dari semalam. Sambil berkarya aku berdoa kepada-Nya agar aku pulih sediakala.

Pengalaman remaja kujadikan sumber ilham untuk berkarya walau masa yang dilalui amat singkat. Tamat sekolah menengah saja aku terus bekerja di pejabat JKKR sebagai kerani. Sambil itu cuba menulis karya dan dihantar ke akhbar dan majalah. Ada yang disiar dan ada yang masuk bakul sampah editor. Minat menulis memang sudah sebati di jiwaku sejak aku tahu tulis baca. Tapi kegemaranku turut terkubur bersama kesibukanku menguruskan rumah tangga setelah berkahwin. Kini kusuburkan semula minat itu. Menjadi penulis dalam erti kata sebenarya kerana hanya dengan menulis saja interaksiku dengan sesiapa mampu berlangsung. Wadah komunikasiku kertas dan pena.Jika aku malas menulis aku hanya mendengar saja.

Setelah tiga tahun terbaring lumpuh dan masanya kuisi dengan menulis mauskrip novel, cerpen dan sajak, syukur Allah memberiku sedikit kekuatan diri… Aku sudah boleh bangun dan berjalan perlahan. Aku yakin mampu menguruskan diri dan anak-anakku di rumah sendiri. Suamiku sibuk menguruskan perniagaannya. Di rumah sendiri rutinku pada sebelah pagi aku akan berkebun. Petang pula berehat dan menulis. Pabila computer diperkenalkan aku membelinya sebuah. Bukan pandaipun menggunakannya. Belajar computer dengan computer tahu juga. Dulu biasa menggunaka mesin taip jadi tahulah juga serba sikit.

Kupindah semua tulisanku ke dalam komputer. Termasuk KELARAI IMPIAN dan dua lagi mauskrip novel.tapi sebab selalu sangat digunakan dengan pelbagai kerja computer pun meragam dan rosak. Banyak karyaku yang hilang kerana asyik bertukar ganti computer walau telah disimpan dalam pen drive. KELARAI IMPIAN kutaip semula hingga siap. Karyaku ini disemak oleh sahabatku Noorlaila Ghafar dan dimurnikannya. Terima kasih banyak sahabatku.

Setelah ada akaun facebook aku berkenalan dengan penulis dan editor bertauliah puan Hazama Harun. Lalu kuemel karyaku meminta jasanya menyemak dan memurnikannya. Beliau menelitinya dan menyarankan aku menghantar kepada DBP. Terima kasih banyak dik budi baik pertolongannya. Walau tidak berapa yakin akan diterima aku emel juga karyaku. Alhamdulillah tak rugi mencuba kan!

Sedikit petikan catatan editor kelarai impian DBP….

KELARAI IMPIAN

Tiada yang paling membahagiakan  dalam hidup selain dapat mencapai impian yang diingini sejak kecil. Walau bagaimaapun bukan semua orang mampu mencapai impian yang diidamkan dengan mudah.  Ada yang menggapainya dengan jerih perih dan berendam air mata. Setiap cabaran dan dugaan yang menghalang ditempuh dengan keringat yang tidak sedikit. Inilah kisah yang melatari  novel KELARAI IMPIAN. Aisyah seorang gadis yang bercita-cita tinggi, mahu melanjutkan pengajian sehingga peringkat
tertinggi walau serba kekurangan. Kesedaran betapa pentingnya pendidikan menjadi tunjang utama Aisyah menganyam impiannya. Kemiskinan menghalang Aisyah dan dia dibanti Salina dan Zahari, juga Faizal, jejaka yang menawan hati Aisyah. Mereka berpisah antara benua pabila Faizal melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tanpa diduga keluarganya menerima pinangan Syamsi. Aisyah terluka tapi tidak tergamak melukakan hati ibu bapanya. Dia menerima dengan syarat dia mahu melanjutkan pelajarannya. Kemudian satu persatu peristiwa berlaku dalam hidupnya begitu merobek hai Aisyah. Faizal pergi meninggalkannya tanpa pesan. Syamsi pula menderita sakit tak diduga. Hanya tinggal Salia dan Zahari yang tetap setia menyokong  Aisyah. Mampukah gadis ini menganyam kelarai impiannya dengan sempurna atau itu cuma mimpi indah yang menghiasi tidurnya!

TAMAT.