1. Genre: Puisi
  2. Tema: “Merdeka Negara”.
  3. Tempoh: Rabu 31.08.2022 @ jam 00:01 – 23:59.
  4. Kepanjangan karya: Bebas.
  5. Hadiah:
    Ke-1: RM300.
    Ke-2: RM200.
    Ke-3: RM100.
  6. Hantar ke emel ini: GaksaASEAN@gmail.com

Selamat merdeka berkarya.

-IRWAN ABU BAKAR
Admin
30.08.2022.

PENYERTAAN

1. Ismail Hashim: Kami Mencari Merdeka.
2. Rafael Maribin. Kemerdekaan Adalah Gunung Kinabalu.
3. Hamimah Ibrahim. Demi Kesinambungan.
4. Sujata Wee. Hujan Makmur Di Bumi Merdeka.
5. Paridah Ishak. Malaysia Merdeka Ke-65.

6. Mohd Shukri. Berdiri Nusa Di Persada Cerlang.
7. CT Nurza. Citra Merdeka 2022.
8. Oui Bin Sal. Laungkanlah.
9. Cunong Nunuk Suraja. Mazmur Ambang Fajar Waktu Kian Jadi Logam.
10. Hamizon Shah. Kemerdekaan Itu Sendiri.

11. Mohd Adib. Kemerdekaan Bukan Kamar Indah Dan Wangi.
12. Hamimah Ibrahim (2). Iktibar Merdeka.
13. Gabriel Kimjuan. Semusim Makna Keluarga Merdeka.
14. Salman Sulaiman. Catatan Kecil di Penghujung Ogos.
15. Moh. Ghufron Cholid. Sepucuk Doa Buatmu, Malaysia.

16. Moh. Ghufron Cholid (2). Cantik Itu Merdeka, Malaysia.
17. Husairi Bin Hussin. Merdeka yang didamba.
18. Ekhwan Rusli. b²-4ac.
19. Mokhtar Rahman. Keluarga Malaysia.

KARYA PENYERTAAN

1.

KAMI MENCARI MERDEKA

Kami mencari merdeka
yang lenyap apabila Feringgi
kononnya mahu berdagang di Pelabuhan Melaka
menyerang kami dengan kapal perangnya
menjajah bumi Melaka yang terkenal
pusat dagangan nusantara.

Kami mencari merdeka
yang telah hilang
bersama Tun Mutahir yang kecundang
kerana menyembunyikan puterinya Tun Fatimah
tersayang dari Paduka Sultan Melaka
berhidung belang
angkara fitnah Bendahara yang terbilang
dihukum bunuh dendam
yang berselindung di daun-daun sukma
yang kelam.

Kami mencari merdeka
setelah Feringgi,Belanda dan Inggeris
yang ikhlas membantu
ada ketam terselindung di sebalik batu
menjadi penjarah menerokai hasil bumi
yang kaya dan mewah.

Kami mencari merdeka
penduduk pribumi Tanah Melayu
tidak mahu berkompromi lagi
kuasa Sultan pemerintah negeri
diracik-racik menjadi seinci
kutipan cukai dan pentadbiran
Inggeris telah menguasai
bangsa pribumi menjadi balaci.

Akhirnya kami menemui merdeka
pada 31 Ogos 1957
setelah melumpuhkan Malayan Union
melalui proses pilihanraya umum
bersatunya pelbagai kaum
laungan merdeka,merdeka, merdeka
Tanah Melayu yang gah
perjuangan atas meja rundingan
tanpa setetes darah!

-TAMAT-

Ismail Hashim.

2.

Kemerdekaan Adalah Gunung Kinabalu

Melihat gunung yang tercinta ini
gunung kebanggaan penduduk negri Sabah
gunung tertinggi di Asia Tenggara
sekaligus nama Malaysia dikenali seantero dunia

melihat gunung yang tercinta ini
gunung khazanah warisan alam
hutan tropika, flora dan fauna
pembekal sumber udara yang segar

melihat gunung yang tercinta ini
punca sungai yang amat deras
laju mengalir ke dataran luas
tanah paya, tanah gambut, bakau dan belukar

melihat gunung yang tercinta ini
bagaikan menyaksikan dan terus mengiktiraf
sasa, gagah, tangkas dan berwibawanya
Mat Salleh, Syarif Osman dan Antanum
berperang dengan penjajah untuk
mempertahankan
negeri kita Negeri Di Bawah Bayu

melihat gunung yang tercinta ini
antara gunung yang
diidam-idamkan
seluruh penduduk dunia
jika gunung ini dapat ditakluki
merupakan suatu kebanggaan
kepada penduduk seantero dunia

sememangnya erti kemerdekaan
yang sebenarnya
ia adalah Gunung Kinabalu.

Rafael Maribin
Tuaran, Sabah.

3.

DEMI KESINAMBUNGAN

Di tarikh keramat ini
31 haribulan Ogos1957
berkibar panji kemerdekaan
megah bersama laungan
Merdeka! Merdeka! Merdeka!…..
tujuh kali bergema
suara dari Tunku Abd Rahman Putra
Bapa Kemerdekaan
65 tahun berlalu

Mengimbau ke zaman sebelumnya
menginsafi perjuangan para pahlawan lama
hasil keringat ….
darah dan air mata bukan mainan cerita
bukti dari lipatan sejarah sudah tertera
Melayu bukan sembarangan untuk dipijak injak oleh penjarah durjana

Hasilnya pengorbanan terindah
inilah yang dikecapi
kemajuan puncak negara dicapai
usah dinyalakan lagi api dari percikan sengketa

Cukup dan cukup sengsara usah berulang
biar yang buruk dijadi sempadan
kukuhkan kesinambungan kejayaan
demi keteguhan negara aman

Bersatulah duhai anak-anak warisan
Malaysia ku….
Negaraku
Rajaku
Agamaku
anak muda jangan lalai alpa
lagha dek hasutan petualang
perjuangan mesti diteruskan
kemerdekaan terus dijulang
berkekalan

Hamimah Ibrahim
Kluang, Johor, Malaysia
31.08.2022 

4.

HUJAN MAKMUR DI BUMI MERDEKA

Nikmat merdeka anugerah berlimpah
telah diwariskan kepada kita
keringat jerih perih moyangda berjuang
kitalah membajai subur ladang perpaduan
menggembur saujana bendang persepakatan.

Berlimpah ruah nikmat hasil bumi
berpeterana lambai daulat yang berkat
kaya kurnia anak watan bumi leluhur
cinta taat setia tiada berbelah bagi
sekian dasawarsa semakin matang dewasa
mengangkat maruah bangsa mulia
tidak mungkin berputih mata semangat
mengalir setiap urat nadi anak watan sejati.

Inilah pertiwi yang kita julang
junjung ke puncak peradaban
angkat sahsiah jati diri berintegriti
sarwajagat di pentas cakerawala mengharum
terukir indah wajah kemakmuran antara
kerdipan bintang-bintang terserlah kemuliaan
bumi bertuah warga gemilang
amanah dijunjung terpahat kebijaksanaan.

Ikrar dan janji dilafaz
tiada ingkar walau sepatah
amanah menjaga dipikul bersama
 bumi berdaulat ini sebagai saksinya.

Sujata Wee
Pt 284 Jln Baru Kg Kulim 16250 Wakaf Bharu Kelantan

5.

MALAYSIA MERDEKA KE-65

Panah direka pereka gundah,
mandi keringat meruang masa;
tanah pusaka merdeka sudah,
budi semangat pejuang bangsa.

Dipijak gajah sendayan rambun,
terkambus buah bacang dan nangka;
sejak terjajah sekian  tahun,
tebus maruah juang Merdeka.

Semat kerawang berbatu gitu,
melutut leka memara sambas;
matlamat pejuang jitu satu,
tuntut Merdeka  negara bebas.

Depan telaga ikat sepatu,
batu terbelah galang pekaka;  
harapan warga berkat bersatu,
direstu Allah julang Merdeka.

Alim bertarhim lama bertasrif,
fikirbergugus melarik sangka ;
takwim Sheikh Fahim ulama arif,
di akhir Ogos  tarikh Merdeka.

Belum teroka candi berkisi,
melubang objek tersorot karun;
Stadium Merdeka  jadi saksi,
lambang Union Jack melorot turun.

Terleta saprah diolah tikar,
sayur bersuhun di sia bingka;
tinta sejarah telah melakar,
65tahun Malaysia Merdeka.

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah, 3108022

6.

Berdiri Nusa di Persada Cerlang

Merdeka kita hanya pada nama
sekadar laungan tanpa makna
jika minda masih terjajah
hasil bumi masih dijarah
integriti hanyir dinodai rasuah
pecah amanah menjadi mehnah.

Merdeka kita hanya pada slogan
jika Rukun Negara sekadar hafalan
Bahasa Melayu terpinggir sendiri
Perlembagaan Negara dipandang sepi
berantakan rakyat sesama sendiri.

Bangkitlah semua warga
tanpa mengira generasi
kita lempar sejauh mungkin ego dan prasangka
bersama kita tautkan jiwa nurani
ayuh dibuang segala kenihilan
kita semai dan sulam benih kasmaran
agar patriotisme terus bergemerlapan
di persada cerlang berdirinya nusa
menjadi kebanggaan anak watan tercinta.

Jangan kita biar bumi ini ternoda lagi
menjadi hamba di bumi sendiri
tangan terikat mulut terkunci
dihamun seranah penjajah durjana
tersungkur rebah diinjak sengsara.

Jangan…
jangan dibiar sejarah penindasan ini berulang kembali
cukuplah….
cukuplah nenek moyang menangung derita
kini masanya kita tautkan ukhuwah
kita bentengkan jati diri dengan patriotisme
kita pasakkan panji perjuangan di medan kesetiaan.

Inilah erti kemerdekaan
sebesar-besar makna kebebasan.

Mohd Shukri bin Hussin

7.

CITRA MERDEKA 2022

31 Ogos 2022
detik dinanti berulang kembali
Malaysia bercitra indah
berkibar gah Jalur Gemilang
dari udara di ruang angkasa
helikopter memberi hormat

Malaysiaku gilang gemilang
Dataran Merdeka gegak gempita
Kontinjen Malaysia mewarnai acara
meraikan merdeka mensyukuri kemakmuran
Keluarga Malaysia Teguh Bersama

Hari ini penuh bermakna
kita kuak sejarah silam
membuka lipatan lampau
betapa tinggi nilai pengorbanan
mengenang terkenang para pejuang

Merekalah Pahlawan bangsa
menabur bakti ke hujung usia
melakar nama mengharumi persada.

CT NURZA
Alamanda, Putrajaya.
31 Ogos 2022.

8.

LAUNGKANLAH

laungkanlah slogan merdeka
tiga kali berturut-turut
dengan kuat dan nyaring
tegas penuh yakin
berjiwa kental
agar satu dunia 
dapat mendengar suara
penghayatan setiamu
tidak berbelah bahagi 
semangat merdeka
menerobosi sanubari

gah kibarkan jalur gemilang 
merentangi desa dan kota
menuju saat gema
detik dua belas malam

laungan merdeka 
penuh tekad sepuas hati
tatkala itu sahaja waktu ada 
buat kesempatan kamu
merealisasi saat-saat indah 
kegemilangan merdeka dahulu 
setelah kau dilahirkan selepas merdeka .

Oui Bin Sal
Tanah Merah, Kelantan.

9.

MAZMUR AMBANG FAJAR WAKTU KIAN JADI LOGAM

penanda jam langkah kaku kini
sehingga ingatanmu katak berjamaah
bersama keluarga dalam kardus birahi
jalanan kukayuh pendayungku menyeberangi
demam waktu kian jadi penanda jam lupa pulang
sarang burung migran wajah binar memburu urban
beku diputaran logam pakaian gerimis berkerlapan
cahaya terkait kail nelayan pantai utara jam logam
menggegam asa terbalut kardus membesi karatan
dilumat rindu waktu kian jadi kerja seperti hujan
di dunia peri beku diputaran jam kerja seperti hujan
di dunia peri ternyata penyihir terapi begitu jadi kisah
katak berjamaah bersama keluarga penanda jam kisah
yang kausampaikan sedu sedan
dalam kardus birahi jalanan seperti hujan di dunia peri
membesi karatan dilumat rindu beku diputaran jam kerja
waktu kian jadi logam wajah binar memburu urban penanda jam
terkait kail nelayan pantai utara lupa pulang sarang burung migran
kisah yang kausampaikan sedu sedan katak berjamaah bersama keluarga
ternyata penyihir terapi begitu jadi kisah langkah kau kini sehingga
ingatanmu
berhenti di batas kota rehat
hujan berdendang segar dalam hutan kota
siapa pemangku kuasa kota dikenal sudut negeri
sayup suara sirine ambulan menanda isyarat
segera berlalu menuju kota tetangga
jejak rumah singgah penyair tua
bangunan sederhana berjendela kayu
sangkar burung menggantung di sudut
suara desah penghuni mengusir gelisah
sejarah hujan membalut musim
bergerak bulan.demi bilan
melintasi garis katulistiwa
merapuh di bulan Juni
retak jehakmu membanjiri ibukota
merendam pemburu urban hingga dada
menyisakan lumpur di.pintu Desember
mudik menjelang musim semi
pesona pelangimu menjerat puisi
bernyanyi betanak-pinak senegeri
cerita bidadari.mandi dijerat birahi Jaka tarub
kisah kerak nasi menyumbat memori

Cunong Nunuk Suraja.
Columbus Wed Aug 31 20 22 10:29 am

10.

KEMERDEKAAN ITU SENDIRI

Berdekad tanah airku, oh…MERDEKA !!! 
Berbagai rencam luka duka pahlawan
tinta dan pena di meja bulat negarawan
satu demi satu langkah mara
harapan ke depan 
tumbuh gedung-gedung makmur 
lonjak kejayaan
pesat bangunan-bangunan teknologi
dinding kemodenan
sergam menara-menara insani
pupuk kekeluargaan
hikmat nikmat generasi ke generasi
melazati teguh bersama dari
kemerdekaan itu sendiri

Merdeka kita mungkin belum matang
namun siap-siaga segenap lapisan warga
ya; merdeka kadangkala sedu-sedan
kita memujuk penuh kasih
ya; merdeka kerapkali terhimpit pahit 
kita penawar mekar bak bunga raya
ya; merdeka acapkali perit dan penat
kita pengubat bangkit semangat pak belang
ya; merdeka berganda-ganda indah bahagia
kita pengukur tempoh sejahtera dari
kemerdekaan itu sendiri

Merdeka negaraku; tempat tumpah darahku
bukan calang-calang korban leluhur
peluh bakti dan darah juang sejati

Merdeka negaraku; tempat darahku tumpah
bukan alang-kepalang kurniaan moyang-ganda
impikan cucu-cicit berbangga pada nusa bangsa

Merdeka negaraku; pertiwi tercinta
bukan sembarangan anugerah moyang-poyang
jangan adu domba musnah sama sendiri

Tanggal ini
31.Ogos menjelang, panji-panji keramat 
jalur gemilang berkibar cerlang
di pucuk-pucuk setia rakyat jelata
31.Ogos  datang bendera kasih-sayang
melambai-lambai megah berintergriti
di puncak-puncak kuasa pemimpin
31.Ogos menjelma, lagu patriotik bergema  
dari ceruk-ceruk kota desa adalah saksi
ke pelusuk-pelusuk desa kota menjadi bukti 
merdeka negaraku;  milik kita bersama
jangan dipersendakan apalagi cuba dipersiakan 
kemerdekaan itu sendiri

Hamizun Syah
Langgar, Kedah
31hb.Ogos.2022

11.

KEMERDEKAAN BUKAN KAMAR INDAH DAN WANGI

Bangsaku sudah 65 tahun melaungkan kalimah merdeka
selama itu menikmati kebebasan
dari perbudakan dan penindasan si penjajah
luar garis laku kemanusiaan
kini jadi parut tak kan dilupakan dari sebuah luka
tak kan hilang kecuali mati

Memang patut berterima kasih
tunak kenang runyam getir perwira-perwira degupi perjuangan semalam
hingga terbina masa depan disinari matahari, tiada asap dan suram
betapa persis kita reguk hari ini tanpa halang

Benar.  Kemerdekaan bukan kamar indah dan wangi
ajang untuk lelap seperti pengantin diselimuti bahagia
namun sebentangan lahan untuk diolah menjadi hijau
berbunga wangi pelbagai warna tersiar ke segenap pelosok
berbuah manis aneka bentuk disukai semua orang
dengan kepakaran dan cita rasa sendiri
merealisasikan  kemerdekaan hakiki

Karya:
MOHD ADID AB RAHMAN
JB5472 Jln. 6, Taman Jus Perdana, 77500 Selandar, Melaka.
31 Ogos, 2022

12.

PUISI BERIMA
IKTIBAR MERDEKA

Hendak dikata peristiwa sudah
negara merdeka bukannya mudah

Nenek  moyang  berkorban raga
susah dan seksa hidup diduga

Tanah Melayu  bila dijajah
rakyat jelata kampung diterjah

Portugis Belanda bertukar tangan
Inggeris  Jepun menerjah angan

Dari utara hingga selatan
bangkit Melayu walau di hutan

Keringat dan darah jadi taruhan
air mata tumpah nyawa terkorban

Berjuang pahlawan bukan dongengan
termaktub bukti sejarah kemenangan

Diserah kembali tanah jajahan
merdeka dilahir dengan kemegahan

31 Ogos tarikh keramat
tahun 57 diberi rahmat

Warisan bangsa jagalah nama
pertahan merdeka paling utama

Tangan musuh di mana-mana
dipercik api tidak bermakna

Teguh bersatu amalan mulia
ilmu dan akal ke arah jaya

Lipatan sejarah dikaji dipadan
Kesilapan lama iktibar sempadan

31.08.2022.
Hamimah Ibrahim
Kluang, Johor, Malaysia 

13.

SEMUSIM MAKNA KELUARGA MERDEKA

Kita melihat matahari pagi
keringat di wajah ini
ada sejuta peribadi
kerana cinta terperi
pada tanah air sendiri
semangat jati diri
berkembang mekar di sanubari
sentiasa ada syukur Ilahi

Laungan merdeka berjalur bakti
keluarga semboyan sudah berbunyi
mari kita angkat keluarga pertiwi
teguh bersama menyemai budi
pada barisan bangsa budi
mengibar megah gemilang erti
inilah tumpah setia dan janji
agar musimnya tidak pernah pergi

Karya;
Gabriel Kimjuan
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.
31 Ogos 2022

14.

Catatan Kecil di Penghujung Ogos

Berkali-kali terdengar
laungan Tunku
segera kuingat
tulisan Pak Sako
dan kubaca berulang-ulang
kisah Tok Janggut
kucari-cari karangan
Ahmad Boestamam
yang kujumpa hanya
buku-buku tulisan
pegawai penjajah
yang dijual
dengan harga Yahudi.

Tengah hari
31 Ogos yang panas
ulang-alik mengganggu
dalam lintasan fikirku
harimau penjajah yang lapar
memang ia telah
berhenti mengaum
namun ia sentiasa
bersedia menerkam.

Yang tertinggal
menjadi kenangan
senaskhah akhbar merdeka
yang dicetak semula
dan diari atok yang kosong
pada tarikh 13 Mei 1969.

Kubuka tivi,
hanya perarakan
dan nyanyian
demi nyanyian.

Kumatikan. Kerana aku bosan.

Aku tidak mahu
melihat yang sama
dan berulang.

Revolusi dan pemberontakan
telah lama bertukar
menjadi nyanyian dan perbarisan.

Salman Sulaiman.

15.

SEPUCUK DOA BUATMU, MALAYSIA

Di lembar ketiga puluh satu
Buku kemerdekaan yang penuh restu
Semoga pohon duka
Tak lagi rindang di tanahmu

Semoga akar setia
Mengakar di tanahmu
Sampai benalu curiga
Kehilangan rupa

Dan huru hara
Tak lagi terlacak detaknya

Dari seberang, Madura
Aku berdoa
Semoga detakmu adalah bahagia
Kado istimewa buatmu di hari merdeka

Moh. Ghufron Cholid
Junglorong, 31 Agustus 2022

16.

Cantik Itu Merdeka, Malaysia

Cantik itu Merdeka, Malaysia
Saat suara-suara kebenaran
Mengasingkan kusam wangka
Dari kedalaman sanubari

Cantik itu Merdeka, Malaysia
Saat kita tak dikebiri curiga
Dan saling menguatkan cinta

Saat kita satu nama
Setia bernegara

Moh. Ghufron Cholid
Junglorong, 31 Agustus 2022

17.

Merdeka yang didamba

Ceria semula
meriah sungguh-sungguh
ada hiburan merata-rata
ada perarakan berduyun-duyun
ada gema bertalu-talu
riuh segenap pelosok negara.

Lama berkurung
macam tiada pelajaran
langsung tidak memberi iktibar
apabila susah sudah berlalu
semua sakit perit dilupa
konon inilah ketika
masa kembali merdeka.

Kita dambakan gembira
kita idam seronok sentiasa
kita mahu riuh pada bila-bila
kita hendak rayakan segala-gala
itulah merdeka yang didamba.

Di mana-mana ada sahaja ria
riuh malam tanpa doa
masjid sepi teraniaya
gempita malam tanpa sedar
gembira semua, alpa tentang bala boleh tiba
merdeka jangan sampai kita lupa
sejarah sentiasa berulang
bak jerat idam pelanduk mengena.

Esok merdeka – Putraery Ussin Merdeka ke-65.

18.

b²-4ac

Mata terbuka tiba-tiba,
Diselak langsir menzahirkan gelap,
Ah, jam menunjukkan masih berbaki seperlima malam!

Hening tanpa bunyi,
Tiada percik bunga api,
Tiada sorak gembira,
Tiada letupan mercun,
Tiada gegak gempita,
Tiada salakan atau lolongan,
Baik yang berkaki empat atau dua.

Lalu jiwa mula berkira-kira,
Mencari punca terjaga,
Petikan jari menyalakan gajet,
Serentak menghidupkan fikiran.

Aku harus cari persamaan,
Mahupun yang linear,
Atau yang bersifat kuasa,
Harus ada tambah, tolak, kali dan bahagi,
Yang bakal menghadirkan jawapan,
Baik rasional atau sebaliknya,
Baik imaginari atau bukan,
Tetapi tegar melambangkan suasana.

0.2x² – 24x + 718.2 = 0

Hadirnya tiba-tiba,
Seperlima malam,
Dari jadual 24 jam,
Diiringi nombor yang rawak,
Persis aku yang terjaga,
Secara tiba-tiba.

Mata kupejam,
Terbayang lengkung kuadratik,
Yang tersenyum,
Yang mungkin punyai akar,
Satu, dua, atau yang kompleks.

Lalu kuteringat memori lama,
Dalam mencari punca,
Harus kita mengetahui pengukur determinant,
Ya, itulah b²-4ac.

Gajet kembali bernyawa,
Kutekan-tekan kesekian kalinya,

△ = (-24)² -4(0.2)(718.2),

Jawapannya umpama bilangan surat cinta,
Apakah ini tanda,
Dari Yang Maha Esa?

Lalu kubangkit,
Certas kucapai,
Pensil kugapai,
Teruslah aku mengira,
Leka hingga terlupa,
Apakah punca aku terjaga.

Kukurung nombor-nombor itu,
Menjadi faktorial,
Lalu kesemak,
Apakah nilainya,
Menepati formula x = [-b ± √(b²-4ac)] / 2a?

Lalu akar-akarnya kutemui,
Anu itu 57,
Anu itu 63,
Infleksinya sekitar 61.

Keramatnya nombor menanda tahun,
Merdekanya bangsa,
Terbentuknya nusa,
Membuatkan aku tersenyum,
Kerana termerdekalah minda,
Tetapi haruskah aku kembali lena,
Atau berterusan berkira-kira,
Selagi mana pengukurnya waras,
Agar persamaan ini menggambarkan semua,
Agar kekal dirgahayu nusa?

Ekhwan Rusli
012 233 2372

maerwan@gmail.com

19.

KELUARGA  MALAYSIA

Merdeka, merdeka, dan merdeka
begitu jiwa penuh semangat
satu negara satu keluarga,

Malaysia teguh menjulang usia
enam setengah dekad memanjat
merdeka, merdeka dan merdeka,

Tidak menghirau jatuh bangunnya
seiring maju saling berpakat
satu negara satu keluarga,

Kembali kita seperti sedia
menyambut mesra hari keramat
merdeka, merdeka dan merdeka,

Tiada lagi virus korona
turun berlabuh mengganggu gugat
satu negara satu keluarga,

Demi Malaysia tanah pusaka
agar sentiasa dalam selamat,
merdeka, merdeka dan merdeka
satu negara satu keluarga,  

MOKHTAR  RAHMAN
Alor Setar, 31 Ogos 2022

KEPUTUSAN

Kami masih menunggu nota balas daripada para pengadil.

TAMAT.