Wajahnya yang sederhana, rambut yang sedikit keriting, tinggi yang sederhana, namun air muka yang tenang, menarik minat saya untuk bertanya sesuatu kepadanya. Waktu itu saya sedang mencari satu set Tafsir Alazhar, karangan ulama terkenal Nusantara, satu-satunya tafsir yang lengkap di alam Melayu dengan Bahasa Melayu. Waktu itu, saya berada di Jalan Jalan Pahang, di pejabat akhbar sebuah parti lslam Pas, tidak jauh dari Pusat Perubatan Tawakal, pusat perubatan swasta tersohor negara.
Saya melihat sekeliling, banyak buku di situ, khasnya buku-buku agama dan gerakan lslam. Di satu sudut, terlonggok beberapa ikat akhbar Harakah, lidah rasmi parti lslam itu.
“Assamualaikum,” saya memulakan percakapan. Dia menjawab salam saya.
“Ada apa-apa keperluan?” sambungnya.
“Ya, saya sedang mencari Tafsir AlAzhar, karya Pak Hamka, lebih kurang 10 set,” saya menerangkan keperluan saya.
“Satu set 400 ringgit,,” beritahunya.
“Saya tahu, tapi saya akan, ambil satu set setiap bulan, selama 10 Bulan.”
“Boleh diurus,” jawabnya.
Dia kemudian menghulurkan tangan berjabat salam dengan saya. “Saya Lutfi,” katanya memperkenalkan diri. Saya hanya menganggukkan kepala. Saya sudah mengagaknya kerana biasa melihat gambarnya di Harakah.
Setelah itu, terjalinlah hubungan persahabatan, walau pun tidak begitu erat, namun ia membuka peluang saya menulis di Harakah dan berkenalan dengan beberapa pemimpin Pas. Lutfi telah menulis puluhan buku politik semasa di tanah air dan bidang kegemarannya ialah gerakan reformasi Anwar lbrahim dan perjuangan Pas. Dia juga memperjuangkan kebebasan media dan menerbitkan majalah Tamadun, yang menyeru kepada kebebasan media dan menganalisis hal ehwal semasa.
Perjuanganya sebenarnya bermula dari awal sejak menjadi siswa di UTM Jalan Gurney, apabila timbulnya isu purdah, sehingga akhirnya beliau terpaksa meninggalkan UTM.
Dalam mengendalikan majalah Tamadun, beliau berhadapan dengan karenah KDN sehingga akhirnya penerbitan Tamadun ditarik balik.
Namun dalam usaha menegakkan kebenaran itu, beliau telah diuji dengan pelbagai penyakit terutama masalah jantung dan kencing manis. Seingat saya, seawal tahun 2000 dan ke atas, beliau keluar masuk hospital dan menjalani pembedahan jantung. Adik kepada dramatis dan penyair terkenal Dinsman ini, turut mengalami masalah kencing manis yang kronik menyebabkannya selalu sahaja keluar masuk hospital.
Kerjaya penulisannya turut terganggu. Saya yang sering menamatkan “Catatan Hujung”nya di akhbar Harakah, merasa agak kecewa kerana catatannya itu agak tajam dan meyakinkan. Saya juga waktu itu meminati gaya persembahan Subki Latiff dalam kolumnnya Mensano in corpore sini.
Apabila berhijrah ke Rawang, saya sudah jauh dari pejabat Harakah dan hanya mengikuti perkembangan Ahmad Lutfi dari media dan rakan-rakan. Sehingga kelmarin, saya dikejutkan oleh berita pemergiannya oleh Dinsman, abangnya sendiri. Pemergiannya menyebabkan hilangnya suara pembangkang melalui buku-buku politik yang ditulisnya. Beliau menderita dengan penyakitnya itu, saya kira lebih 10 tahun. Semoga ia menjadi kiffarah terhadap kesilapan-kesilapan yang mungkin pernah berlaku sama ada sedar atau tidak. Alfatihah.

Itu saja pengalaman saya dengan Ahmad Lutfi. Semoga Allah merahmati beliau.
Oleh:

Ibnu Lazim.
9.7.2022.
TAMAT.