Menulis puisi kepada audiens dewasa tidak sama dengan menulis karangan narasi. Puisi yang ditulis secara narasi tanpa simbolik dan gaya bahasa adalah puisi polos.
Puisi polos ada audiens tersendiri iaitu kanak-kanak. Menulis puisi polos tidak salah selagi audiensnya adalah kanak-kanak. Puisi polos sesuai dengan tahap pengalaman dan pendedahan ilmu kanak-kanak.
Bagaimana hendak dibezakan antara puisi polos vs puisi minimalis yang memakai kata² awam (biasa dan sederhana) tetapi diganding dan dirangkai menjadi diksi yang mencitra makna mendalam.
Puisi minimalis diisikan dengan diksi berjisim (substance) manakala puisi polos langsung tidak memakai simbolik, majas mahupun gaya bahasa. Itu bezanya.
“Saya pergi ke kedai membeli timun,” vs “aku hanya timun,” adalah contoh puisi polos vs puisi minimalis. Yang pertama hanya ada satu lapis makna. Yang kedua ada berlapis makna.
Timun adalah simbolik kepada kerapuhan (fragile), tidak berdaya melawan, keadaan sekeliling menghimpit, tekanan hidup dan berbagai konotasi simbol ‘timun’ yang lainnya.
Alasan menjadikan puisi lebih komunikatif untuk terus menulis puisi polos kepada audiens dewasa tidak boleh diterima kerana puisi adalah karya seni yang puitis. Kepuitisan apakah yang lahir dari karangan narasi yang dirangkapkan?
Sedangkan manggis yang telus tentang jumlah ulasnya, masih tetap merahsiakan saiz ulas berapa besar, berapa pula yang kecil. Manggis juga merahsiakan apakah ada getah (kulum getah) menyalut ulasnya.
Kata gemulah penyair Jamaluddin D, “Puisi itu ada “ghosianya” (rahsianya).” Menurut SN Baha Zain, ” puisi tidak berbicara segalanya dan tidak kepada semua.” Ini menguatkan lagi bahawa laras bahasa puisi tidaklah seragam kepada semua tahap audiens.
Oleh:

ibnudinassingkiri
(Ingin tahu lebih lanjut bagaimana caranya menulis puisi minimalis? Jom ikut serta dalam bengkel puisi tahap 2 bersama IDA.) -Lihat SINI.
TAMAT.