Assalammualaikum salam sejahtera,
izinkan hamba mencoret rista,
bukanlah pula untuk mengata,
hanya berkisar cerita rumah tangga.
Berumah tangga bukannya mudah,
bila terlaksana sememangnya indah,
kadangnya pula ada yang gundah,
perkara biasa tergigitnya lidah.
Zaman dahulu berumah tangga,
jodoh dipilih oleh orang tua,
anihnya anak menurut sahaja,
atas dasar kemudian cinta.
Ada yang nasib jodohnya panjang,
hingga ke tua berkasih sayang,
mulanya dulu tak pernah terbayang,
jodoh orang tua membawa senang.
Namun begitu ada yang malang,
jodoh orang tua tidak berpanjang,
bercerai-berai kasih bersimpang,
seperti juga zaman sekarang.
Jika jodoh takdir bertuah,
rumah tangga teguh tiada rebah,
beranak cucu, cicit bertambah,
keluarga meriah terasa indah.
Di masa dahulu jadi nostalgia,
mesyarakat melayu semuanya sama,
bagi yang lazim tinggal di desa,
berumah tangga berjiran tetangga.
Tinggal di pekan ataupun kota,
berumah tangga mencabar juga,
belanja kehidupan mahalnya harga,
perlu berjimat elak sengsara.
Jika punya ilmu pengetahuan,
pendidikan tinggi jadi taruhan,
mudah mendapat pekerjaan sepadan,
rumah tangga tidak berhantakan.
Jika kedua suami dan isteri,
keluar rumah mencari rezeki,
belum ada anak senanglah lagi,
tiada kekangan mudah berdikari.
Apabila punya anak di rumah,
masih kecil memanglah payah,
pengasuh anak mencari susah,
bimbang mendapat yang tidak berhemah.
Pendapatan lumayan selesalah juga,
kewajipan suami menyedia belanja,
isteri sekadar membantu sahaja,
sekadar yang mampu tiada berkira.
Di kota dan pekan serba mahal,
belanja harian dan lain hal,
jika tak bijak kira-kira dihafal,
rumah tangga tegang tak tentu pasal.
Sedikit cerita kehidupan di desa,
suasana harmoni jika terbiasa,
kadangnya sepi mendamaikan juga,
bersama beburung terbang bercanda.
Suasana tenteram di masa silam,
rumah tangga aman siang dan malam,
rajin berusaha tak pernah diam,
bertani, memelihara itik dan ayam.
Bermandi peluh mencari makan,
suami isteri saling bertolongan,
mana yang patut dapat dikerjakan,
anak-anak tetap jadi perhatian.
Ayam jantan berkokok tinggi,
di atas pagar di pagi sunyi,
suami isteri terbangun sendiri,
ketika subuh azan berbunyi,
Selepas solat betukar baju,
suami isteri sarapan dahulu,
bersama anak sedia menunggu,
kopi panas dan ubi kayu.
Seawal pagi bersama embun,
suami isteri bersama turun,
turun ke sawah atau ke kebun,
anak-anak ikut berjuntun.
Jika punya anak yang kecil,
isteri tak ikut bukan memencil,
anak dijaga cermat terpanggil,
suami pun faham tiada muskil.
Anak yang besar pergi ke sekolah,
berjalan kaki tiada kisah,
suami isteri berhati tabah,
agar anak tak akan susah.
Ada juga sikapnya isteri,
tak mahu membiar suami sendiri,
pergi ke ladang tempat bertani,
anak didukung bersama pergi.
Kehidupan dalam berumah tangga,
serba-serbi mesti dijaga,
zaman dahulu cerita istimiwa,
mengekalkan jodoh hingga ke tua.
Suami isteri menuju ke senja,
kekal setia duduk berdua,
tersenyum mesra di anak tangga,
rambut memutih gigi tiada.
Zaman sekarang berumah tangga,
mudah bergoncang tiada semua,
tak kira suami, isteri pun sama,
mudah tergoda dan terpesona.
Ada yang bersikap tiada setia,
lain di bibir lain di jiwa,
tiada terfikir akan jadinya,
rumah tangga goncang berderai juga.
Ada juga yang sikap bersabar,
merasa syukur punya sekadar,
rumah tangga teguh tiada terbongkar,
menjauhkan diri dari bertengkar.
Hidup di dunia sering tak puas,
semua dilihat amatlah luas,
dari itu sentiasa berawas,
berumah tangga tiada terbabas.
Berumah tangga kena beriman,
jodoh pilihan menjadi teman,
susah senang sama rasakan,
sehidup semati janji yang mampan.
Banyak perkara jika nak kata,
rempah ratus berumah tangga,
sukar disebut semua cerita,
positif negatif semuanya ada.
Sampai di sini syair dikarang,
sebagai ingatan setiap orang,
mohon maafkan mana yang kurang,
hamba bukannya orang terbilang.
Oleh:

Noorhamy
4 Jun, 2022 / 2.44 petang
Telamba, Telisai, Tutong, Brunei Darussalam.
TAMAT.