PEMIMPIN KAKI SEBELAH

Kami angkat dia menjadi pemimpin
kerana dia ada hanya sebelah kaki.

Berdirinya berhati-hati
jalannya tidak jauh
larinya tidak laju
duduk dia bersama rakyat
susah senang rakyat difahami
hatinya sarang rakyat.

Lalu jadi dia pemimpin tinggi
terdedah kepada segala
datang tawaran dari semua arah
dengan duit rakyat
dibelikan tongkat
yang membantunya berdiri
kemudian dibelikan prostesis
yang membantunya berjalan
kemudian yang membantunya berlari
kemudian yang membantunya memanjat
kemudian yang membantunya terbang.

Kini dia sibuk berjalan, berlari, memanjat, dan terbang
dengan duit rakyat.

Rakyat kebuluran.

Kuala Lumpur, 4.11.2016.

(Dari Kumpulan Puisi Irwan Abu Bakar, “AM Ke PM”, Kuala Lumpur: eSastera Enterprise, 2020).

Oleh:

Penulis: Irwan Abu Bakar.
Deklamator: Barcov Firdaus.

TAMAT.