Deklamasi: Lihat di Facebook:
https://www.facebook.com/salmah.amir.3/videos/337322991820210
Syair berlagu citranya guru,
lemah gemalai angin bersiru,
tertera fakta usah keliru,
insan mulia sifat ditiru.
Kerjaya guru sangat mencabar,
usaha tegar ilmu disebar,
lingkungan luas berjalur lebar,
walaupun kadang rasa berdebar.
Bagaikan dian suluh cahaya,
cerahkan jalan elak bahaya,
mendidik murid sepenuh daya,
berdoa moga beroleh jaya.
Tiada jemu menabur bakti,
meski cabaran silih berganti,
cuba tangani berhati-hati,
sepantun guru sopan pekerti.
Guru ikuti arus semasa,
normal baharu cakna tiasa,
demi majukan hai anak bangsa,
makmur hidupnya aman selesa.
Bersungguh-sungguh guru mengajar,
jelaskan ilmu pada pelajar,
agar berdiri duduk sejajar,
bersiap diri sebelum fajar.
Budinya guru tak minta balas,
murni hatinya semata ikhlas,
sejernih air di dalam gelas,
reda semua tugas digalas.
Sekali guru selama guru,
bersyair indah penuh terharu,
jasa disanjung bertinta biru,
biarpun lama kekal baharu.
Oleh:

PARIDAH ISHAK
Desa Melor
16 Mei 022
TAMAT.