————————————————————————————————————–
MEMILIH PILIHAN
INI bukan malam biasa. Malam ini aku menyusun cerita bukan atas kertas tetapi dalam jiwa. Tidak sesekali aku kehilangan kata kerana aku tidak pernah mahu kehilangan rindu. Begitu aku tidak takut ketiadaan aksara sebaliknya aku gementar andai ketiadaan rasa.
Langsung aku terdengar suara angin membisikkan, hidup manusia ada pilihan.
Kutanyakan terus, di mana ruang manusia dapat memilih.
Angin itu tidak membisu lalu memberitahu betapa manusia diberikan waktu menentukan ke simpang mana hendak dituju. Impian mana mahu dicapai. Antara kasih atau benci, terpulang kepada empunya diri.
Suara angin membuatkan aku tersenyum kerana aku tahu angin sedang berdusta dan malam semakin luar biasa.
Tenang kunyatakan jua, sama ada suka atau tidak, rela atau ingkar, sudi atau sepi atau apa sahaja terjadi. Manusia cuma menyangka itu pilihan sendiri. Paling jelas lagi ikhlas, manusia tidak punya kuasa membuat pilihan.
Jika ada pilihan sekalipun tidak lain adalah meneutralkan apa telah ditakdirkan supaya tidak mudah melatah. Kemudian manusia terus melangkah sebelum langkah ke langkah terbukti bukan pilihan.
Oleh:

Hamizun Syah.
Langgar, Kedah
20.05.2022
TAMAT.