TEKS PUISI

JIKA CUMA

‘jika’
jika itu dapat dijadikan ini
tentu begini jadinya
ini tetap begini
itu tetap begitu
tidak mungkin sebaliknya
langsung di mana manfaat
meletakkan ‘jika’

lalui saja begini kerana inilah begini
akui saja begitu kerana itulah begitu

‘cuma’
bukan sekadar kunci kata
malahan penutup selaksa semangat
runtuh lebih separuh harapan impian
tunggu dan kaku di situ
bagaikan penunggu di tebing igauan
jangan sampai kunci kata terlepas
ke jurang tajam, menikam semua pengalaman
sebelum tersingkir dan terpinggir
sambil menghitung jumlah kesal
madah gundah tergubah indah

tidak disebabkan muncul ‘cuma’ di awal
setiap penutup terbuka, impian melonjak
menyatu semua pengalaman
secara sedar mendaki ke puncak ingin
tanpa pernah berhenti
kerana tidak perlu ada ‘cuma’
sehingga ke akhir nokhtah

dan jangan menangis lagi
air mata juga punya harga diri

Oleh:

Teks dan video: Hamizun Syah
Langgar, Kedah
11.05.2022

TAMAT.