SAYEMBARA ESVA-9/2022: MENULIS PUISI “PUASA 6”

Panjang bebas.
Tarikh: Sepanjang bulan Syawal 1443 ini (sehingga 30.05.2022).
Hadiah: Pertama = RM100; Kedua = RM80; Ketiga = RM70.
HANTAR karya anda melalui emel ke: GaksaAsean@gmail.com.

PENYERTAAN

  1. Salmah Amir. “Puasa Enam”.
  2. Paridah Ishak. ” Rahmat Syawal”.
  3. Moh. Ghufron Cholid. “Enam Matahari Syawal”.
  4. Moh. Ghufron Cholid (2). “Cahaya Yang Lahir Bulan Syawal: Irwan Abu Bakar”.
  5. Rohidayu Abdul Rahman (Mell Abdul Rahman). “Puasa Enam”.
  6. Isbedy Stiawan ZS. Puisi Puasa.
  7. Salmah Amir (2). Puasa Enam.
  8. CT Nurza. ” Perisai Iman”.
  9. Mokhtar Rahman. “Puasa Syawal”.
  10. Hamimah Ibrahim. Terza Rima: “Puasa Syawal”.
  11. Zuraida Dewi. “Soneta: Gandaan Pahala”.

KARYA PENYERTAAN

1

PUASA ENAM

Di bulan Syawal puasa enam
boleh puasa Syawal kedua
mula puasa kuatkan iman
jangan gundah jika digoda

Boleh dibuat berselang seli
sepanjang Syawal selagi ada
asalkan dapat keenam hari
selagi Syawal masih berada

Ambil peluang puasa ganti
bagi wanita hutang puasa
puasa sunat puasa ganti
ganjarannya setahun puasa

Terlebih baik jika diganti
asingkan hari puasa enam
lebih afdal dan Allah terima
asal puasa seikhlas hati

Salmah Amir

2.

Peserta: Paridah Ishak
Puisi pancalarik

RAHMAT SYAWAL

.
Jelma
satu Syawal
Aidilfitri indah
euphoria buana Islam
serlah
.
Takbir
gema kudus
tanda kemenangan
melepasi duga Ramadan

iman
.
Esok
dua Syawal
bermula puasa

sunat enam hari hingga

usai
.
Ihsan
Rahim Rahman
fadilat puasa
pahala setahun janji
langit

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
1/5/022

3

ENAM MATAHARI SYAWAL

Tujuh petala langit, terbuka
Dalam istijabah doa
Saat enam matahari syawal
Kau taklukkan dalam enam kali berbuka
Sebagai jalan cinta
Dan jalan penakluk angin sangkal

Enam matahari syawal
Yang telah kau kawal
Dalam puasa
Jalan lain penghapus dosa

Moh. Ghufron Cholid
Junglorong, 11 Mei 2022

4.

CAHAYA YANG LAHIR BULAN SYAWAL
: Irwan Abu Bakar

Kusebut kau cahaya yang lahir bulan syawal
Lahir di sela-sela hari yang penuh nutrisi

Kaupun tak pernah meyangka
Kelahiranmu tahun ini begitu istimewa
Lantaran memuat bulan kemenangan
Juga memuat puasa 6 matahari
Yang bisa kau cicil sekehendak hati
Namun memuat pahala setahun penuh puasa

Tak hanya itu, puasa 6 matahari bulan syawal
Jalan bagi jiwa-jiwa mengasah cinta dan melebur dosa-dosa
Juga jalan terindah menyangga langit dalam doa-doa paling perawan

Moh. Ghufron Cholid
Junglorong, 11 Mei 2022

5

Puasa Enam

Perjuangan yang belum selesai
Sepurnama menahan lapar dan dahaga
Dan juga nafsu yang bermaharaja lela
Pejuang islam meneruskan perjuangan
Puasa enam diberi nama

Fadhilatnya bukan kepalang
Pahalanya seperti setahun berlapar dahaga
Baiknya Tuhan pada hamba-Nya
Memberi syurga dengan percuma

Bahagianya menjadi wanita
Digabung puasa ganti dan sunat menjadi satu
Hukumnya harus tertulis di fatwa
Teruskan amalan menjadi rabbani
Syurga menanti neraka menjauhi

Usai puasa enam
Beraya lagi sebagai kemenangan
Syukur dan tawaduk tanda keikhlasan
Sucikan hati bersihkan jiwa
Selamat menyambut syawal
Selamat tinggal Ramadhan
Semoga usia panjang bertemu lagi tahun hadapan

Mell Abdul Rahman
Melbourne, Vic

6

PUISI PUASA

selepas ramadan
syawal datang
jauhkan aku
dari makanan
yang bertaburan
: aku puasa,
puasakan keinginan
meramut hidangan

ini puasa syawalku
enam hari banyaknya
lalu diakhiri lebaran
ketupat; tapi beri aku
sabar melahap semua
memakan yang berlimpah
jaga pula hatiku,
di sana nafsu
tak terkira
“cukuplah wajah-Mu
sebab yang kurindu
kelak bertemu
dalam meja hidangan,”
doaku pada hari ke enam
puasa syawal ini

seperti di madura
lebaran ketupat

pada hari ke delapan
aku juga giranggirangkan
di mejaku ada ketupat
dan lauk daging; “aku
persembahkan bagi
cintaku pada-Mu
pada setahun kemudian
yang dihapus segala dosa!”

ya Allah, jaga hati
dan nafsuku. kuingin
selalu puasa dari
nafsu tamak
dan mengambil
hak anak yatim
dan fakir miskin

jaga diriku
dengan puasa
demi puasa
karena-Mu semata

jaga tanganku
agar selalu puasa
dari jamah
yang bukan punya-Mu

Isbedy Stiawan ZS.
2022

7

PUASA ENAM

Di bulan Syawal kita puasa
seronok bagi orang dewasa
sukar bagi orang nan kelisa
terasa diri tidak selesa

Ganjaran puasa sepanjang tahun
Janjinya Allah untuk setahun
berbuka dengan semangkuk bihun
sedaplah lagi jika mi suhun

Enam hari   Syawalkan pergi
puasa enam tak sempat lagi
tak ambil peluang lebihlah rugi
bukannya susah nak bangun pagi

Puasa enam banyak ganjaran
ada orang yang buat tak hairan
sendiri rugi tak ikut ajaran
takut yang Esa beri amaran

Marilah kita puasa enam
jangan hidup jadi terbenam
syaitan memang ingin menjunam
kelak masuk neraka jahanam

Salmah binti Amir
CYBERJAYA, SELANGOR

8

PERISAI IMAN

Kekallah bermujahadah
kendati Ramadan berlalu
Syawal tiba menghimpun rahmah
kita kutip berkatnya Syawal
puasa sunat enam jadikan amalan
menyempurnakan kelompangan amal
menampung segala yang kurang

Kekallah bermujahadah
agar teguh tiang akidah
puasa enam sebagai perisai
mentarbiah diri beristiqamah
demi menggapai sebuah reda.

CT Nurza
Malaysia, 26 Mei 2022

9

PUASA  SYAWAL

Ramadan sudah melangkah pergi
Syawal yang datang, titipan mesra,
puasa, sahur, beriftar lagi,
enam hari kumpul pahala,

Berkata Nabi, berpuasa enam
sama seperti dua purnama
ganjaran pahala, sering diidam
kalian yang patuh dan setia,

Sunat Syawal lengkapkan amalan
meski hadirnya cuma sekali
betapa Allah lalu infakkan
rahmat-Nya buat insan rabbani,

Puasa Ramadan menguji kudrat
begitu Syawal santuni umat.

Mokhtar Rahman
Alor Setar, 30 Mei 2022

10

TERZA RIMA: PUASA SYAWAL

Setelah berakhir bulan puasa
Ramadan pulang berganti Syawal
lalu disambut riang selesa

Ada amalan dibuat awal
umat Islam sunat kerjakan
puasa enam di bulan Syawal

Syawal kedua boleh mulakan
di sarankan agar berturut hari
sistem penghadaman dipulihkan

Ganjaran pahala Allah memberi
bagai setahun ibadat puasa
nikmat besar tidak terperi

Begitu kasih Allah Yang Esa
puasa enam sepanjang Syawal
tiap perintah tidak sia-sia

Hukum sunat sangatlah afdal
enam hari ganjaran kekal

23 Syawal 1443 / 24.05.2022
Hamimah Ibrahim
Johor MALAYSIA

11

SONETA: GANDAAN PAHALA

Kini Syawal semakin penghujung
puasa enam terus kerjakan
setahun sekali ia kunjung
selagi daya cuba lakukan

Puasa enam ganda pahala
rugi sekali biar berlalu
begitu kasih Allah Taala
sebagai hamba berasa malu

Begitu manis buat ibadah
wajib dan sunat kita kerjakan
janganlah leka dan ambil mudah
perintah Allah terus lakukan

Gandaan pahala Allah beri
nikmat digambar tidak terperi

23 Syawal 1443 / 24,05,2022
Zuraida Dewi
Padang Serai, Kedah

KEPUTUSAN

17.01.2023

KEPUTUSAN DAN LAPORAN SAYEMBARA ESVA-9/2022: MENULIS PUISI “PUASA 6”

SYARAT

-Panjang puisi bebas

-Bertemakan “puasa enam”

Laporan

Alhamdulillah, seperti yang semua pemain sastera ASEAN maklum, bahawa sayembara ESVA sering mendapat sambutan dalam kalangan ahlinya. Setiap kali sayembara diadakan sudah pasti menetapkan satu tema atau isu tertentu yang berkaitan dengan keadaan semasa. Hal ini memperlihatkan bahawa penggiat sastera juga perlu peka dengan keadaan semasa untuk dikaitkan dengan tema atau isu yang dijadikan syarat sayembara.

Jika tidak, sudah pasti kita akan mendapati puisi yang menyertai sayembara yang bertema ini menjadi klise atau basi. Maka pembaca atau juri akan mendapati semua karya yang menyertai sayembara ini sama sahaja atau lebih tepat hampir sama dan berlegar dalam isu yang selapis sahaja. Seharusnya penulis boleh (sepatutnya) keluar daripada kotak atau berfikiran jauh lalu mengkaji, mencari, meneroka agar puisi yang dihasilkan mempunyai kelainan dan segar untuk dihayati oleh pembaca terutama juri.

Adakala tertentu karya yang biasa atau dianggap klise juga boleh menjadi luar biasa sekiranya penulis bijak memilih diksi dan menyusun kata menjadi bait-bait yang indah. Selain itu, tertib atau penyusunan bait-bait puisi juga harus bersajak atau berkesinambungan agar maksud puisi yang hendak disampaikan menusuk ke kalbu atau sampai kepada pemahaman pembaca.

Selain itu unsur-unsur sastera dalam puisi seperti gaya bahasa perlu difikirkan juga oleh penulis dan bukan sekadar menulis untuk menyampaikan maksud tetapi keindahan bahasa itu diabaikan atau ‘tawar’. Barangkali untuk mudah difahami puisi tersebut ‘terlalu polos’ sehingga boleh dianggap sebagai karangan berangkap.

Diharapkan dengan sedikit perkongsian ini boleh dijadikan panduan kepada kita semua dalam berkarya terutama menghasilkan puisi yang indah dan memberi makna kepada pembaca (berimpak). Namun begitu, harus diingat bahawa setiap manusia punyai selera atau minat yang berbeza-beza. Jadi keindahan atau keasyikan juga kesempurnaan dalam sesebuah puisi juga karya sastera yang lain tetap bersifat subjektif. Sebagai tips atau panduan, para pemain sastera perlu berusaha agar karya yang dihasilkan tiada kesalahan ejaan, tanda baca yang betul, mempunyai diksi-diksi yang menarik dan sesuai, serta paling penting boleh difahami oleh pembaca secara implisit dan eksplisit (jangan hanya syok sendiri). Akhir sekali puisi mestilah memenuhi syarat penyertaan iaitu sesuai dengan tema/isu.

Berikut adalah ulasan sajak bersama markah yang telah diputuskan;

1. Salmah Amir – Puasa Enam

Penulis mengajak pembaca untuk berpuasa enam dengan cara apa-apa sekalipun. Malah memberitahu kepada wanita akan kelebihan puasa ini. Hanya mempunyai selapis makna yang mudah untuk difahami oleh pembaca. Markah 50/100.

2. Paridah Ishak – Rahmat Syawal

Penulis mahu bercerita tentang kelebihan bulan Syawal yang penuh rahmat termasuk puasa enam yang tidak patut dilepaskan oleh setiap umat Islam. Puisi pancalarik sebegini bukan mudah untuk dihasilkan kerana melibatkan susunan bentuk yang telah ditetapkan. Tahniah kepada penulis. Namun begitu, selain daripada bentuk puisi yang unik, puisi juga sangat menekankan makna/maksud. Jadi aspek pemilihan diksi perlu bersajak dengan maksud pada setiap rangkap agar dapat difahami. Markah 61/100.

3. Moh Ghufron Cholid – Enam Matahari Syawal

Umat Islam perlu mengambil kesempatan atas kemurahan Pencipta membuka ruang untuk kita berdoa dan beribadat. Segala-galanya tersedia ketika Syawal dan puasa enam seperti ganjaran yang sangat istimewa. Maksud yang hendak disampaikan sangat baik, namun susunan diksi dan juga pemilihan perkataan agak mudah. Markah 65/100.

4. Moh Ghufron Cholid – Cahaya yang Lahir Bulan Syawal: Irwan Abu Bakar.

Kaitan kehebatan tentang kelahiran seseorang pada bulan Syawal yang penuh berkat. Penulis membuat analogi tentang kebaikan dan juga keberuntungan yang diperoleh apabila lahir pada bulan tersebut. Hubungan kait kelahiran dengan puasa enam itu agak kabur. Markah 54/100.

5. Mell Abdul Rahman – Puasa Enam

Menjelaskan tentang kelebihan dan manfaat puasa enam. Juga dikaitkan dengan kelebihan untuk wanita berpuasa serentak sunat dan ganti. Hanya penjelasan tentang puasa enam dalam susunan bait-bait bersajak. Markah 55/100.

6. Isbedy Stiawan ZS– Puisi Puasa

Sebuah doa yang tulus dari penulis tentang nikmat dan rahmat puasa enam. Penulis memohon keberkatan segala amalan/juadah. Juga menjauhi diri dari sifat tercela. Sebuah puisi yang indah kerana ‘rasa’ yang hendak diucapkan sampai kepada pembaca. Markah 75/100.

7. Salmah binti Amir – Puasa Enam

Seruan kepada pembaca agar berpuasa enam dengan pelbagai ganjaran yang disediakan oleh Allah. Walaupun rima akhir sekata untuk menghasilkan ritma yang menarik, namun dari segi maksud hanya selapis dan polos. Markah 56/100.

8. CT Nurza- Perisai Iman

Menyeru pembaca dapat meneruskan ibadah puasa enam agar memperoleh ganjaran yang Allah janjikan. Maksud yang jelas sebagai sebuah seruan. Walaupun bahasa yang baik, namun diksi yang digunakan terhad. Markah 60/100.

9. Mokhtar Rahman – Puasa Syawal

Penyair menjelaskan tentang kelebihan puasa enam sambil menyeru pembaca untuk melakukan ibadat tersebut. Makna yang jelas atau polos, namun susunan bait-bait kata indah dan berkesan. Markah 68/100.

10. Hamimah Ibrahim – Terza Rima: Puasa Syawal

Juga menyatakan kelebihan puasa enam di samping menjelaskan tentang kebaikan untuk kesihatan. Maksud yang jelas, susunan yang baik tetapi masih membawa maksud yang selapis. Markah 63/100.

11. Zuraida DewiSoneta: Gandaan Pahala

Menjelaskan kelebihan puasa untuk dilakukan oleh pembaca. Seruannya sampai dan harmoni. Bait-bait yang indah dan sangat jelas maknanya. Markah 70/100.

Kesimpulannya, semua puisi yang menyertai sayembara ini adalah baik dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Namun, dalam menghasilkan sesebuah puisi terutama karya sastera memang tidak boleh memuaskan nafsu atau kefahaman semua orang. Karya sastera juga tidak boleh atau lebih tepat amat sukar untuk ditukar dengan segenggam beras apatah lagi untuk dijual dengan harga berjuta-juta ringgit. Namun, sastera itu adalah makanan jiwa yang boleh memberi kita ‘rasa’ seperti kenyang, kaya (kesempurnaan jiwa), ketawa gembira, bahagia, persahabatan dan lain-lain. Moga bermanfaat, walahualam ….

Keputusan:

1. Isbedy Stiawan ZS – Puisi Puasa. (RM100). [PAID TO ROIS 20.03.2023].

2. Zuraida Dewi – Soneta: Gandaan Pahala (RM80). [PAID 24.03.2023].

3. Mokhtar Rahman – Puasa Syawal (RM70). [Diderma kepada ESVA pada 25.03.2023].

Tahniah buat para pemenang.

Terima kasih kepada PENGADIL. [PAID 17.02.2023]

17.01.2023

TAMAT.