Biar kukhabarkan padamu teman,
Jua buat diriku sebagai peringatan,
Kisah wali-wali yang jelas kelihatan,
Bukan mimpi, bukan igauan,
Martabat diabadikan dalam pesanan,
Tutur emas Nabi akhir zaman.
Wali-wali itu dekat sekali,
Jiwamu dan jiwanya pernah sebati,
Kehendakmu dijunjungnya di dalam hati,
Biar pun berat ditanggung diri,
Tetap dilaksanakannya berhari-hari,
Waima bayangmu belum tajalli,
Kerana diikat talian Ilahi.
Dalam dirinya kita berlabuh,
Tempat mulia di dalam tubuh,
Semulia paksi ditiupkan ruh,
Dan di situ kita pun tumbuh,
Darah dan tulang menjadi seluruh,
Menyerap tenaga bersungguh-sungguh,
Namun si wali tak pernah mengeluh.
Biar berapa lama kita dikandungnya,
Biar bagaimana kita lahirnya,
Biar berapa banyak susu darinya,
Biar berapa jam sehari dapat bersama,
Bukan itu yang dikira,
Kerana si wali tetap mulia.
Doanya tembus langit tertinggi,
Detik hatinya firasat Ilahi,
Tanpa bicara diriku difahami,
Walau berapa kucurahkan seluruh bakti,
Manakan mampu kubalas si Wali?
Maka kenangilah kunci syurgamu,
Wanita-wanita mulia bergelar ibu,
Ummie, Mommy, Mama, apa pun namamu,
Walau melangkah beribu batu,
Walau menggunung jawatan dan kuasamu,
Tetap santunilah wanita itu,
Walimu itu tetap satu.
HappyMothersDay
Oleh:

Ekhwan Rusli
Malaysia.
TAMAT.