Oleh: Irwan Abu Bakar

Semua orang melenting marah. Emak dan ayah Sina naik histeria. Adik-beradik Sina mengamuk. Seluruh kampung pening kepala apabila mengetahui duduk perkara. Tok Imam dan Tok Penghulu pengsan apabila mengetahui duduk perkara. Malah Menteri Agung dan kabinetnya sendiri menjadi gempar apabila mengetahui duduk perkara.

    Hal ini amat berat bagi Sina. Dia perlu menanggungnya sendiri. Tambahan pula, anak gadis ini tidak ada adik-beradik perempuan. Kalau ada, mungkin dapat berkongsi masalah.

    Sina tahu memang dia telah melanggar adat. Tahu yang dia juga telah melanggar undang-undang negara. Namun masih ada sedikit harapan lagi — Sina berasa dia belum melanggar hukum agama. Tapi di mana Sina hendak mengadu, sedangkan Lembaga Fatwa Agama sendiri terletak di bawah Lembaga Adat dan hukum sekular pemerintah.

    Mengikut undang-undang semasa, cinta antara Sina dengan Qifa memang cinta terlarang. Mustahil untuk adat dan negara meluluskan perkahwinan mereka. Qifa ialah lelaki kadaveroid. Dia sudah mati. Dia tidak lagi wujud dalam sistem adat dan politik negara. Malah dalam sistem adat dan politik dunia.

    Qifa telah diterminasi (“dibunuh”) oleh pihak musuh dalam pertempuran dengan tentera negara Arupagnis dua tahun lalu. Pada masa itu, dia seorang anggota tentera berpangkat Kapten dalam tentera darat negara Aisyalam itu.   Dalam pertempuran yang berkenaan, senapang laser musuh telah mengenai reseptor di dada Qifa. Maka Qifa pun “mati”. “Mati” bermaksud semua rekod peribadinya telah terpadam daripada memori hiperkomputer negara Aisyalam. Dan daripada rangkaian sistem komputer dunia.

    Maka dari segi peraturan adat dan undang-undang dunia semasa, Qifa sudah tidak wujud. Yang ada hanya jasad bernyawanya sahaja. Dia sudah tidak ada sebarang hak sebagai manusia. Kad identiti pintarnya akan termusnah apabila cuba dibaca pada mana-mana pangkalan komputer. Maka itulah dia menjadi anggota golongan penduduk dunia yang dinamai kadaveroid (manusia yang telah diterminasi). Kadaveroid tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti yang melibatkan undang-undang. Tidak boleh berkahwin, tidak boleh memiliki sebarang bentuk harta, dan tidak boleh segala-galanya. Maka untuk membeli-belah pun tidak boleh kerana tidak mempunyai kad identiti pintar (yang merakamkan juga jumlah wang yang dimiliki). Dari segi undang-undang, dia memang sudah mati, sudah tidak wujud.

    Konsep kadaveroid (dari kata “kadaver” = mayat) diperkenalkan atas inisiatif Pertubuhan Bangsa-bangsa Dunia (PBD) untuk mengelakkan pertumpahan darah dalam peperangan. Maka diciptalah sejenis senjata yang tidak melukakan tisu badan manusia, sebaliknya hanya memadamkan rekod peribadi seseorang. Kesannya sama. Mereka yang menjadi mangsa, tidak lagi menjadi rakyat dunia yang sah. Maka Qifa ialah seorang manusia yang tidak sah kewujudannya.

    Sebenarnya, perkenalan Sina dengan Qifa berlaku secara tidak sengaja. Qifa menyelamatkan Sina daripada mati lemas di pantai Birom sewaktu berkelah dengan kawan-kawan sepejabatnya. Apabila Sina mengetahui akan status kadaveroid Qifa, sudah terlambat baginya. Dia telah benar-benar terhutang nyawa kepada Qifa. Nyawa sebenar, bukannya nyawa undang-undang. Dan hatinya sudah benar-benar jatuh cinta. Dia tetap mahu berkahwin dengan Qifa. Dan Qifa, manusia kadaveroid yang sudah tidak ada sebarang nilai sosial, juga telah benar-benar mencintai Sina. Qifa sanggup menghadapi sebarang risiko daripada perhubungan terlarang itu.

    Hari itu dunia jadi gempar. Berita perkahwinan Sina dengan kadaveroid Qifa menjadi berita besar dunia. Belum pernah perkara serupa itu berlaku di mana-mana negara sebelum ini. Berita itu meluncur ke seluruh dunia melalui rangkaian hiperkomputer internegara. Malah Presiden PBD sendiri telah menghubungi Menteri Agung negara Aisyalam tentang hal itu.

    Tok Imam yang mengijabkabulkan Sina dengan Qifa telah diberkas oleh polis kerajaan Aisyalam. Sina dan Qifa juga diberkas. Mereka dibicarakan oleh Mahkamah Agung PBD. Jika didapati bersalah, Qifa akan dijatuhi hukuman mati mandatori. Kalaveroid Qifa akan dihukumi dengan kematian sebenar. Namun bagi Qifa, hukuman itu tidak berat mana. Hidup sebagai kadaveroid pun sudah seperti mati.

    Peguam bela Odnanref yang mewakili pihak tertuduh menggunakan isu common law sebagai pembelaan utama. Katanya, common law Islam adalah terpakai bagi orang-orang Islam. Agama Islam tidak mengiktiraf kewujudan golongan kadaveroid. Kadaveroid yang beragama Islam masih wajib mematuhi segala hukum Islam. Mereka wajib bersembahyang, wajib berpuasa,  dan sebagainya.

    Pembelaan peguam Odnanref itu telah menimbulkan kemarahan hakim Enitsugua Luap. Mana boleh undang-undang yang tidak mengiktiraf perlembagaan dunia, bentaknya. Namun pembelaan itu berjaya menimbulkan isu undang-undang. Isunya, betulkan common law masyarakat di sesebuah negara mengatasi undang-undang dunia yang dirangka PBD?

    Tok Imam, Sina, dan kadaveroid Qifa yang berada di kandang tertuduh hanya melihat dan mendengar aktiviti balas-membalas hujah antara peguam bela dengan hakim. Sebenarnya, hakim Enitsugua Luap berada di New York sementara peguam Odnanref dan ketiga-tiga tertuduh berada di Alauk Rupmul, ibu negara Aisyalam. Perbicaraan dijalankan melalui telepersidangan. Yang di New York menggunakan bahasa Inggeris sementara yang di Alauk Rupmul menggunakan bahasa tempatan. Namun sistem telepersidangan yang digunakan memberikan terjemahan serentak, seolah-olah mereka berinteraksi dalam satu bahasa sahaja.

    Perbicaraan di Mahkamah Agung PBD itu terpaksa diangguhkan kerana hakim mahu mendapatkan kepastian tentang kedudukan common law vis-a-vis undang-undang internasional PBD yang terpakai.

    Mahkamah bersidang semula pada sebelah petang: pada jam 2:00 petang (waktu New York). Hakim membuat keputusan bahawa common law memang boleh diterima pakai. Hal ini sedemikian kerana konvensyen yang merangka undang-undang internasional PBD menjamin tidak menjejaskan kebebasan mana-mana golongan masyarakat dunia mengamalkan hukum masyarakatnya sendiri, seperti yang wujud sebelum undang-undang internasional PBD diwartakan. Dan nyata hukum masyarakat Islam telah diterima sebagai salah satu common law yang diiktiraf oleh konvensyen itu. Keputusan itu menyebelahi pihak tertuduh.

    Namun kerajaan Aisyalam berdukacita dengan keputusan hakim. Kerajaan negara-negara lain pun tidak berpuas hati. Kerajaan enggan menerima sahnya kewujudan golongan kadaveroid semata-mata kerana beragama Islam. Hal ini menimbulkan kontradiksi dalam melaksanakan keadilan, dakwa mereka. Bagaimana kalau semua kadaveroid Islam di dunia menuntut menjadi rakyat dunia yang sah? Dan bagaimana kalau ada kadveroid yang mahu memeluk agama Islam?

    Pihak pendakwa mencabar keputusan hakim Enitsugua Luap. Mereka mengakui kebolehterimaan common law Islam. Namun mereka mahu pengesahan bahawa Islam menerima kewujudan kadaveroid sebagai manusia yang sah. Mereka mendakwa tidak mungkin hukum Islam sebegitu. Islam agama yang progresif. Hukumnya sesuai untuk semua zaman. Konsep kadaveroid tidak wujud pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Fatwa baharu diperlukan. Pendapat peguam bela bahawa Islam tidak mengiktiraf kewujudan golongan kadaveroid sebagai manusia yang berlainan daripada manusia biasa, menjadi persoalan di hadapan hakim. Dan persoalan inilah yang perlu dibahaskan oleh kedua-dua belah pihak.

    Perbicaraan ditangguhkan lagi. Mahkamah mahu merujuk kepada International Islamic Mazhab Council (IIMC), badan yang mengeluarkan fatwa untuk orang-orang Islam di seluruh dunia. Badan itu merupakan mazhab tunggal yang diikuti oleh masyarakat Islam sedunia. Fatwa daripada mazhab-mazhab tradisi sudah tidak dipakai lagi sebaik-baik sahaja IIMC mengambil alih peranan mengeluarkan fatwa dan merumuskan fatwa-fatwa baharu dengan mengkaji semula semua fatwa daripada mazhab-mazhab tradisi. Hal ini dapat dilakukan, dan perlu dilakukan, kerana sistem komunikasi dunia sudah begitu menyeluruh. Tidaklah praktikal jika berlaku amalan yang berbeza-beza antara masyarakat Islam dari daerah geografi yang berlainan.

    Mahkamah diberitahu bahawa IIMC belum ada fatwa yang dikehendakinya. Persidangan IIMC diperlukan. Ahli-ahli dipanggil dari seluruh pelosok dunia. Ulamak-ulamak yang berkenaan bergegas ke New York untuk membuat fatwa baharu itu. Wakil-wakil kerajaan negara-negara dari seluruh dunia juga berkerumun ke New York. Mereka datang untuk melobi. Maklumlah, fatwa IIMC mempunyai banyak implikasi politik.

    Hakim Enitsugua Luap telah bersedia dengan segala dokumen apabila mahkamah bersidang semula.

    Sebaik-baik sahaja perbicaraan dimulakan, peguam bela menggemparkan mahkamah. Menggemparkan dengan suatu pengumuman. Hakim Enitsugua Luap yang belum sempat mengemukakan dapatan-dapatan undang-undang yang baharu diperolehnya, juga menjadi gempar. Semua hadirin yang mengikuti perbicaraan itu di rumah masing-masing melalui sistem telepersidangan mereka, pun menjadi gempar. Masing-masing ternganga mulut.

    “Yang Arif,” kata peguam bela Odnanref. “Anak guam saya Sina, baharu disahkan mengandung.”

    Yang Arif Hakim Enitsugua Luap memeriksa dokumen perubatan yang dikemukakan. “Apa implikasinya, tuan peguam bela?” tanyanya.

    “Oleh sebab bapa kepada kandungan ini ialah kadaveroid, maka kandungan ini tidak ada sebarang status dari segi undang-undang. Mengikut undang-undang kita, hal ini menyebabkan ibu bapanya, iaitu anak guam saya Sian dan Qifa, juga tidak ada status undang-undang. Merek tidak boleh dibicarakan di mahkamah ini. Tok Imam juga tidak boleh dibicarakan kerana perbuatannya melibatkan subjek-subjek yang tidak ada status undang-undang. Maka perbuatannya tidak diliputi oleh undang-undang semasa dunia.”

    Hakim Enitsugua Luap jadi bingung. “Ini suatu persoalan undang-undang yang besar,” katanya.

    “Habis, bagaimana halnya, Yang Arif?”

    “Kita tunggu kelahiran bayi dalam kandungan itu. Kita lihat bagaimana rupanya. Barangkali baharu dapat kita fikirkan dengan jelas. Perbicaraan ditangguhkan sembilan bulan. Sementara itu, tertuduh dibebaskan.”

    Sina memeluk Qifa. Qifa merasakan dirinya melonjak menjadi manusia biasa. Dia memimpin tangan Sina. Mereka berjalan pulang.

ULASAN

Cinta Kadaveroid: Cara Irwan Abu Bakar Mengkampanyekan Hukum Agama Secara Humanis
Oleh Moh. Ghufron Cholid

Cinta Kadaveroid demikian cerpen ini diperkenalkan oleh Irwan Abu Bakar selaku penulis cerpen. Cerpen yang menurut saya terbilang menarik, bagaimana seorang Irwan berhasil membuat konflik yang tak biasa namun dapat diselesaikan dengan mudah.
Irwan seakan ingin menyampaikan pesan bahwa ketika hukum adat dan hukum negara dijadikan lebih tinggi derajatnya daripada hukum agama maka di sinilah penganut agama dituntut berimprovisasi agar kendali tertinggi tetap berada di hukum agama.
Kehadiran seorang hakim yang begitu teguh memegang norma adat dan norma negara adalah perihal sunnatullah yang pasti terjadi baik cepat ataupun lambat sehingga dibutuhkan pengacara berwawasan luas namun juga bisa memposisikan hukum agama mesti berada di atas hukum adat maupun negara.
Cerpen ini bisa kita anggap sebagai rapalan masa depan perihal hidup juga cinta di tengah pesatnya teknologi.
Hal ini bisa kita umpamakan di masa kini dengan adanya e tol yang memakai bayaran secara elektronik sehingga bayaran tunai tidak laku. Seakan ingin menegaskan apa artinya punya uang banyak jika kendaraannya tidak bisa lewat tol lantaran tidak punya alat bayar elektonik. Hanya saja, oleh Irwan Abu Bakar di arahkan kepada manusia bernama Qaif yang orangnya hidup namun tak punya data pendukung untuk dikatakan sebagai makhluk hidup karena tidak cukup syarat baik secara hukum adat maupun secara hukum negara.
Kalau persidangan pemecahan kasus yang dibahas dalam cerpen ini sudah dijalankan di masa kini, yakni sidang secara online di mana antara hakim, pengacara dan terdakwa berada di tempat berbeda. Yang semakin menegaskan bahwa sebagian ciri masa depan dalam cerpen ini sudah kita alami tinggal istilah kadaveroid yang belum diberlakukan pada manusia secara utuh.
Kalau saya boleh menduga adanya corona yang mewajidkan warga negara bervaksin untuk melintasi negara lain juga ikut andil dalam menyukseskan ide dalam cerpen ini, di mana hak-hak yang belum bervaksin lebih dibatasi daripada yang sudah bervaksin. Meski lambat laun, vaksin tidak dipaksakan kepada masyarakat, bagi yang ingin bervaksin dipersilakan begitu pula bagi yang tidak. Tapi secara umum tamsil kadaveroid sudah ada di masa kini.
Sungguh perpaduan ide yang sangat menarik yang dihadirkan oleh Irwan Abu Bakar.
Cerpen ini mendapatkan penutup yang manis atas permasalahan yang ada, bahwa hukum agama ada dan menjadi rahmatan lil ‘alamin atau semacam solusi yang bisa menuntaskan masalah hukum adat maupun hukum negara. Meletakkan hukum agama di atas hukum adat dan hukum agama akan memberi dampak baik untuk menyelesaikan segala kesemrawutan yang ditimbulkan oleh kesesatan berfikir atau menimalisir bahaya yang ditimbulkan kecanggihan teknologi. Sebab intinya hukum agama lebih memanusiakan manusia.

Junglorong, 6 Mei 2022

TAMAT.