engkau dengar jerit ranting sekujur jiwa
gemeratap bunyinya
takkala tertanggal dari sepohon percaya
begitu rapuh jiwaku ini
menolak bayu rindu menerpa
ke dalam diri

cuma satu mahu kutanyakan
pernah antara kita menyeru bayu itu ke sini
tentu tidak
datangnya bukan atas jemputan sesiapa
sebaliknya sudah tersurat pada kerangka tersirat
dan belum ada seorang pun
dapat membaca sehingga tamat

ahh…di belakang sana bukan rahsia
di depan nanti tiada ramalan

mari kita berteduh bawah rimbun ketentuan hakiki
mengira jumlah pasir tersembunyi
dan menghidu hijau rumput peribadi

telah lunyai
dipijak pijak usia
hanya aromanya sentiasa membuatkan aku dan engkau
masih muda dan leka

sekarang masa kita bersila di lantai pasrah
saling membasahi wajah suram musim silam
dengan titis embun anugerah keinsafan

ahh… aku tidak mudah melepaskan engkau
meski dengung taufan terlalu dekat

Oleh:

Hamizun Syah
Langgar, Kedah
21.04.2022

TAMAT.