Seloka ala pantun berjudul “Seloka Menjadi Penternak” karya penulis Ibnu Din Assingkiri telah terpilih untuk dimasukkan ke dalam buku teks BM darjah 6. (Buku terbit tahun 2022).
Tahniah kami ucapkan kepada sdr Ibnu Din.

SELOKA MENJADI PENTERNAK
Kerana susah mencari wang
Masa depan semakin kabur
Banyak graduan lepas peluang
Bidang ternakan tidak dicebur.
Peluang kerja tiada kelibat
Kalau memilih kerja yang enak
Tiada mengapa sijil yang hebat
Daripada menganggur baik menternak.
Mahu kerja berpakaian cantik
Tapi permohonan tidak berbalas
Elok diternak ayam dan itik
Daripada diternak sifat pemalas.
Kerja berpeluh badan sakit
Hasilnya nanti pasti berpada
Tidak mengapa kotor sedikit
Daripada segak duit tak ada.
Kerja begini elak tekanan
Kerenah orang makin berkurang
Kalau didamping haiwan ternakan
Tekanan hilang berpunca orang.
Seloka dikarang bermotivasi diri
Jangan terlalu pilih kerjaya
Bidang ternakan tinggi potensi
Usah lepaskan peluang yang ada.
Nukilan: Ibnu Din Assingkiri
TAMAT.