Tengah malam mendendang lagu,
yadan-yadan lagu yang lama;
Umat islam rindu menunggu,
awal ramadan diramal tiba.

Waktu berjalan membawa bekal,
jalannya lambat menuju kampung;
1 haribulan ramadan diramal,
petang jumaat pakai teropong.

Minyak gamat minyak ubatan,
dicampur ramuan herba yang asli;
Petang jumaat melihat anak bulan,
bulan ramadan sempat sembunyi.

Cantiknya batu di cincin suasa,
delima merah pusaka berabad;
Hari sabtu tak jadi puasa,
puasa diubah ke hari ahad.

Jaga-jaga dayung perahu,
pergi mengail dekat kuala;
Ahad juga disebut minggu,
3 April dua ribu dua puluh dua.

Susah mencari ikan kalisa,
ikan cencaru di lubuk dalam;
Empat hari sudah puasa,
macam baharu puasa semalam.

Ikan gulama dapat dikail,
bersama salur dan jarang gigi;
Puasa pertama terasa ganjil,
makan sahur di awal pagi.

Pokok aur dan pohon buluh,
batangnya lentur serta bengkok;
Lepas sahur menunggu subuh,
rasa nak tidur sangat mengantuk.

Kapal berlabuh di kuala sungai,
membawa kaca dari Bali;
Setelah subuh solat ditunai,
tak buang masa tidur kembali.

Rasa terhibur dengar kecapi,
bersama tiupan bangsi menghibur;
Ketika tidur termimpi-mimpi,
sedang sarapan di meja dapur.

Di dahan pokok banyak kelawar,
kepala ke bawah tidur membengkok;
Ayam berkokok lalu tersedar,
rupanya mengunyah bantal dipeluk.

Di pinggir kota sawahnya padi,
suburnya tumbuh hijau melata;
Beginilah cerita pantun komidi,
kadangnya sungguh benar belaka.

Pohon kuini di laman dapur,
pohon duku dahan menjuntai;
Pantun ini teman berhibur,
sementara menunggu waktu bersungkai.

SELAMAT BERPUASA SOBAT😁
Wassalam.

Oleh:

Noorhamy.
Brunei DS.

TAMAT.