Kita kumpul puisi yang menyuarakan pandangan atau permintaan kita terhadap pemimpin negara.

PENYERTAAN

1. Ekhwan Rusli. Hai.
2. Hamimah Ibrahim. Sedikit Suara Pertanyaan.
3. Ibnu Lazim. Telah Kulihat Bumi Ini.
4. Paridah Ishak. Pemimpin Pedulikah?
5. Paridah Ishak. Pemimpin Kebal.
6. Paridah Ishak. Lombong Pusaka.
7. Salmah Amir. Jeritan Buat Pemimpin.
8. Ghazali Sulong. Di Negeri Covid-19.
9. CT Nurza. Solusi Apakah Ini?
10. Imam Muhayat. Kado Kalimah Thayyibah Buat Pemimpin.
11. Ghazali Sulong. Dengan Hati Dan Fikir Telah Kami Cantumkan Bibir Dan Lidah.
12. Zulkifli Baharun. Kisah-kisah Lucu Di Panggung Haloba.
13. Zulkifli Baharun. Ketika Melewati Jalan Pusaka Ini.
14. Irwan Abu Bakar. Interhati.

KARYA

1.

Hai

“Hai”,
Ucapan khas buatmu,
Tiada salam pemula,
Tiada sembah ampun,
Tiada maaf kupinta,
Kerna kufikir tiada selayaknya,
Ucap selamat, atau pentakziman,
Buatmu pada masa ini.

Jerih perit tiada terhirau,
Payung bocor menjabat bencana,
Wabak, banjir, kemarau,
Lalu hati semakin galau,
Menafsir tanda langit,
Persis tanda ada tak kena.

Sakitku, ambulans dihalang,
Sedang tingkahmu tidak berbelok,
Langkah diiringi pembelah lautan,
Mengambil ruang, menyempitkan jalan,
Yang bersesak makin dihenyak,
Menggambarkan kami tiada hak yang layak.

Lehermu leka dongak ke langit,
Memendek kaki tiada cabaran,
Mungkin khayalmu kau merak kayangan,
Atau helang hebat sendirian,
Jadi biar kusampaikan khabar,
Penilaian jujur mata marhaen,
Kau umpama haiwan ketakutan,
Gerakmu hanya dalam kumpulan,
Memecut kecut menerobosi hutan,
Umpama tiada berani berseorangan,
Andai tiada perlindungan kekebalan,
Beranikah kau hadapi kami, rakyat bawahan?

“Aku pemimpin”, balasmu,
Mencari hujah membela keistimewaan,
Mungkin berpaksi kertas berpangkah,
Atau bersandarkan pada sejarah,
Yang kau warisi dari ayahmu,
Datang pula dari atukmu,
Dan dari moyangmu,
Berasal dari leluhurmu,
Yang mengikat leluhurku,
Yang tertewas,
Yang tertunduk,
Maka membaiah dan bersetia.

Lalu segalanya turun dari leluhurku,
Turun lagi pada moyangku,
Diwarisi pula oleh datukku,
Lalu didoktrinasi ayahku,
Sehingga akhirnya dipaksakan padaku.

Tetapi bolehkah aku bertanya,
Andai di zaman ini aku mencabarmu,
Untuk melerai baiah persetiaan,
Moga tiada lagi membelenggu,
Sekalian anak, cucu, cicit, piutku,
Dan entah-entah siapa yang tahu,
Mungkin keturunanmu pula di bawah keturunanku?

Andai darah yang kau bandingkan,
Semua kita saga serupa
Tiada pula sepekat nila,
Atau secair kencing rona warnanya.

Andai wang jadi taruhan,
Janganlah hartaku kau kendurikan,
Menyogok menggelapkan mata demi sokongan,
Kerana suatu masa pasti yang mengandarmu akan tersedar,
Tatkala kesal menghambat si bebal.

Ini bukan satu amaran,
Lebih pada pesan kasihan,
Kerana kau, aku, dia, dan mereka,
Berasal dari asal yang sama,
Akan kembali ke tanah jua.

Wahai insan,
Ingatlah kepimpinan mutlak bukan hakmu,
Hanya pinjaman Yang Maha Esa
Maka kerananya kucoretkan ini,
Moga-moga di dalam kubur tiadalah kau menyesal,
Dan hanya mampu mengeluh,
“Hai”

Oleh:
Ekhwan Rusli.

2.

SEDIKIT SUARA PERTANYAAN

Rakyat kenal
rakyat memilih
makan kata manis
nasib akan terbela hidup lebih baik keadaannya
pertinggi mertabat bangsa
itu janji biasa

Ikhlas mana pemberi kata janji itu
tertunaikah janji-janji?
semakin tinggikah taraf kehidupan para marhein?
atau
telah putihkah lorong hitam?
tiada lagikah para gelandangan?

Marilah pemimpin budiman
saksikanlah
segala bencana alam kiriman Tuhan adakah mendatangkan keinsafan?

Berapa persegi kakikah yang tinggal baki tanah air ini untuk keturunan akan datang?
Tebal manakah saku yang jadi halimunan?

Suara pertanyaan dari yang pernah lalu dan masih lalu di bawa bayu di cuping telinga

Oleh:
Hamimah Ibrahim
Kluang, Johor, Malaysia

3.

Telah Kulihat Bumi lni

Memang sudah lebih seabad tanah ini kulihat kalian bermain dengan debu-debunya
ia adalah milik anak watan yang terpaksa dikongsi
atas kehendak kolonial yang kumal.

Namun ia diserahkan pada kalian untuk urustadbir
agar tiada kucar-kacir dan hak anak watan terbela dan terjaga seadanya.

Namun kini
masa yang begitu lama
membuatkan bumi jantung pisang ini
kian tidak terurus lakunya

Kalian membuatkan, anak watan terkapai mencari keperluan diri, sementara kalian makin rakus dengan kuasa yang ada, bahkan kami dipandang sepi bak hampas tebu, sedang kalian membina istana dan mengumpul dayang dengan ketul emas dibawa jauh, sementara watak kalian bertukar jadi singa yang membaham segalanya

Kalian seolah singa jadian membelakangi peraturan sedang kami
terpasung dan terkurung, begitu jijiknya kalian kepada Kami
namun maruah dan hati kami yang cekal menuntut kalian mengembalikan, hak yang dirampas dengan adil
tanpa batas.

Wahai kalian
makhluk kayangan, pulangkan segera hak serta kebebasan
yang dirampas dan jika gagal kami bakal bangkit, bak kiyai Saleh
biar bumi ini rata, dipenuhi darah dan tulang belulang dan kami sudah kehilangan sabar
akibat diperbudak
oleh bangsa
sendiri.

Kami tahu segalanya
hanya menanti ketika darah
kami membuak
dan amarah kami menggelegak.

Ibnu Lazim,
30.3.2022.

4.

PEMIMPIN PEDULIKAH?

Perang sedang berlangsung teramat sengit
sebelah alam sini
Jasad terbujur hilang nyawa terdorong ke gaung
laju berlari membawa bimbang menyorok diri dalam graha sunyi
berlindung serangan bertubi-tubi kanan kiri
Geletar bibir mengucap Allah! Allah! Allah!
lirih sendu bersatu mengharap karamah langit
menghujani rahmah afiat
daya upaya elak peluru musuh seni
Saki baki jasad tergeletak lemah dalam ruang
alam sebelah sini

kau di mana pemimpinku?
Sekadar melontar arahan itu ini
tidak sediakah galas amanah
persis Saidina Omar Al Khatab
tidak lena siang prihatin rakyat
tidak lena malam bersujud takwa kerana Allah
memohon rahmah Al Malik
Kasihani nyawa mendenyut nadi wahai Al Muhamin
dan izinkan jantung masih berdegup
menghirup udara kasih-Mu
semesta buana
leburkan jua wira serakah yang bergelut merebut ghanimah kuasa
tiada sudahnya menjengkelkan jelata
sia-sia segala laku,
bak membubul jala burung
derita rakyat pun bersambung
persis angup angip pinggiran jalan

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
1/07/021

5.

PEMIMPIN KEBAL?

Siaga kemungkinan apapun bisa terjadi
sebab wujud diri tidak lutvirus meski lut haba
Tapi Pemimpin kalis rasa kalis masalah, kalis peluru adil
kalis segala ranjau reba duri tajam menusuk hayat
namun tidak kalis panahan C19
amukannya menafikan kekebalan hamba
tidak peduli sama ada kau politikus
Ada kuasa atau tercari-cari kuasa
sayang rakyat jelata derita dimangsai janji manis
Tega bersaing C19 merelakan mudarat
Memberimu undi pilihan raya
Mewajarkan hak rakyat
Demi hasrat impi lestari
Kekal berkerusi
Rakyat dimanpulasi

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
29/11/021

6.

LOMBONG PUSAKA

Ayuh ke sini!
Lombong pusaka terbiar pinggiran jantung tanjung
prakarsa keras cari gali
Dalam perutnya ada timah, emas, perak, berlian
penuhkan kantungmu dengan laba
Andai hanya memandang
lelah kecundang
Bersaing mendulang mengayak kerikil
menyisih pasir halus pilih mutiara
mengusir ngeri virus halimunan
Demi laba
Peduli apa!
Tawakal Allahu
tapi kau perlu kuasa besar
mengerah segala akar umbi
menegak pucuk kemuncak
semi menguasai

via peti undi
nawaitu kerana membantu marhaen terleta
terkesamping

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
29/11/021

7.

JERITAN BUAT PEMIMPIN

Dari kecilku hingga dewasa
hidup disulami dengan selesa
aman tenteram yang aku rasa
negara dan rakyat lamun sentosa

Pesanan ayah kepada nanda
jauhi niat tiada benda
jangan ditanam kedalam minda
hati terbakar panas melanda

Dengan caraku jiwaku aman
siapa jua pemimpin zaman
tidakku jeritkan pada teman
pada Allah pemimpin beriman

Makan minum kita yang cari
demi pemimpin manapun mari
rakyat bawahan susah sendiri
setiap individu boleh berdikari

Tak perlu ada jeritan pemimpin
apa berlaku Allah yang izin
siapa jua kita dipimpin
Melayu terus boleh berzapin

Salmah Amir
30hb Mach 2022
Cyberjaya

8.

DI NEGERI COVID-19

1/
bendera dibuka digulung
di angka pesakit atau kematian.

2/
wajah-wajah mengira dinar derita
marhaen menelan airmata.

3/
anak-anak keliru mana satu
cikgu, tukang sapu atau pengampu.

4/
rakyatnya ternganga wakilnya masih mengusung-usung mimpi sendiri.

5/
menguji-kaji demokrasi
pada derita, ringgit dan persepsi.

Ghazali Sulong
3 Februari 2021.

9.

SOLUSI APAKAH INI?

Hari-hari yang menyeri
harga barang mencekik darah
termenung sendiri
air mata hangat di pipi
sedang dompet cuma terselit debu di jari
kertas-kertas berwarna-warni
tidak lagi menyisip menghiasi reruang
akhirnya dompet dibuang ke tepi
pudar dimakan hari

duhai pak menteri
dengarlah jeritan kami
mengertilah
fahamilah
sampai bila harus begini
kesempitan ekonomi
kepahitan hidup kami
kendatipun beras dihulur
subsidi diberi
namun keperluan asasi
sentiasa mendesak kami membeli
biarpun harga melambung tinggi

inikah harga sebuah kepercayaan
setelah mandat kami berikan?

CT Nurza
Jerantut, Pahang, Malaysia.
30 Mac 2022

10.

Kado Kalimah Thayyibah Buat Pemimpin

Aku lebih suka menyebutmu pemimpin:
Suka derita di tanganmu menggerakkan laju perjalanan
dari kebodohan menuju kecerdasan,
karena akar kecerdasan bagai perangkat pemantik api,
seperti juga tetes-tetes gasolinmu membuat ledakan
hingga turbin mesin menguat putaran
sistem mekanismu yang baku
terdukung semua perangkatmu yang tak kaku
laju kepemimpinanmu jadi daya dorong lokomotif
rakyat ke arah lapang kegembiraan
MASYA ALLAH, ketakjubanku saksi bisu, pemimpin

Aku lebih suka menyebutmu pemimpin:
Tak habis gelap sebelum kasihmu untuk rakyat
tak terkikis fajar sebelum doamu mengerat umat
tak beranjak pagi sebelum jasatmu sehat
sesampai berkas rencana harian tuntas
tersisalah kemuraman manakala kerja harian
tak terpetik manfaat bagi kebanyakan
SUBHANALLAH, puji-pujianku tak terbendung, pemimpin

Aku lebih suka menyebutmu pemimpin:
ALLAHU AKBAR, detak jantungku berdebar keras , pemimpin
Keberanianmu adalah bentang cakrawala tak terbatas
menyisir darat, laut dan udara hingga ceruk dasar bumi
betapa alutsista tak seberapa
singsing lengan bajumu maju tak ragu
meski menang jadi olokan kalah pun jadi cibiran
pantang surut betapa maut bakal menjemput

Aku lebih suka menyebutmu pemimpin:
Dengan kemurahan hatimu memihak yang lemah
membiarkan mereka membuka sendiri
pundi pundi yang tersimpan rapi
membuatnya lega dapat berusaha kembali
menjajakan apa saja yang mereka bisa
tak takut dan keki pajak membubung tinggi
ALHAMDULILLAH, syukurku cermin berkah hidupmu, pemimpin

Alkisah, di negeri antah berantah
pemimpin terpilih tak terduga sebelumnya
berubah wajah predikat penguasa:
karena negara semakin kuat
sementara rakyatnya tambah sekarat
akibat kongsi penguasa dengan mafia
menyuburkan banyak tangan-tangan besi
dari hari ke hari tirani kian menjadi
aspirasi terbungkam sempurna
siapapun, dimanapun, dan kapanpun kuasamu membuat tuli
domokrasi nyaris mati
INNALILLAH, bendera setengah tiang rata setiap dada

tepatlah aku menjulukimu penguasa
hak-hak persona dengan alibimu pembangunan
sektor-sektor yang membuatmu kantong tebal
gatal, dengan cepat tanganmu garuk menggaruk setiap jengkal
tak peduli tanah rakyat, si miskin terkapar
menjerit hingga terdengar di atas langit
tiang gantungmu berdiri
mengancam siapa saja yang melawan
tak pandang bulu lawan atau kawan
eksekusi jawaban pasti demi kuasamu abadi

suasana semakin tak terkendali
dampak pemerintah tangan besi
negeri selalim macam ini
melambungkan berbagai harga semua keperluan
gaduh mengaduk negerimu
perlawanan dan teriakan membara bagai api
menyulut kayu kering
sempurnalah perang tak diundang
terhitung korban tak terbilang
Astaghfirullah al ‘Azim, lirih suaraku mencekam

Imam Muhayat,
31 Maret 2022

11.

DENGAN HATI DAN FIKIR
TELAH KAMI CANTUMKAN BIBIR DAN LIDAH

telah kami serahkan bibir, lidah dan deria kepada mereka, kerana kami yakin mereka tak pernah kedekut mengongsi rasa atau membawa rasa derita kami untuk dikongsi bersama untuk nanti sama-sama berbahagi cerita dan rezeki.

rupanya, telah lama mereka kehilangan indra kerana bibir,lidah atau deria kami telah terhiris menjadi renjana kecil yang dipersia, ke dalam dulang emas yang hanya dikongsi menjadi sengketa, di momokkan dengan derita sehingga mereka rasa kehidupan adalah pilihan antara mereka.

lalu dengan apa yang ada, kami dipaksa mengambil alih tugas berfikir untuk mereka. sehingga mereka lupa, fikir dan hati masih kami punya, untuk mencantumkan lidah dan bibir supaya menjadi kami semula.

untuk menceritakan, kami bukan hanya ceritera untuk dipersenda.

Ghazali Sulong,
08 Disember 2020

12.

KISAH-KISAH LUCU DI PANGGUNG HALOBA

Kisah-kisah lucu
menjadi polemik rakyat
di panggung perniagaan.

Lucu juga
kisah telur ayam kehabisan
sedangkan ayam telur tak berhenti bertelur
saban hari di reban beribu.

Lucu juga pek minyak sawit kehabisan stok
sedangkan kilang sawit di serata pelosok
tak pernah berhenti memerah minyaknya.

Tambah lucu lagi
rumah mewah berceracak megah di sana sini
tak mampu dibeli
sedangkan rakyat sendiri hanya perlu rumah sederhana
sekadar selesa meneduh panas dan hujan.

Sandiwara itu sohor
di atas pentas kepura-puraan
aksi hebat pelakon kayangan
musim demi musim
ditonton jutaan pemikir dan pemerhati.

Dan sang penguasa masih berdebat
di gelanggang musyawarah

mencari penawar demi penawar
sedangkan catur konglomerat
menjadi rakus di papan haloba.

ZULKIFLI BAHARUN
Bera, Pahang

13.

KETIKA MELEWATI JALAN PUSAKA INI

Kulewati jalan pusaka ini
dengan mata fikir dari gejolak atma.

Lihatlah bukit berdarah
ditarah buat sekian kalinya
tanpa lolongan kesakitan
kerana suaramu dibisukan pusar angin haloba
dari mahligai sang penguasa
yang berdansa di atas dendam alam yang terpendam.

Dengarkanlah pula rintih ikan di cemar sungai
menghela sempit nafas antara puing-puing hanyut
dari belantara duka
diratah gelap perjanjian
di atas kertas pengkhianatan
tanpa saksi-saksi tulen
tanpa meterai akta.

Lirih hiba mergastua kematian langkah
dalam menyusur denai kedamaian
di rimba yang semakin kecil
tidak terapung lagi di langit simpati
disihir genta kemodenan.

Selaut sogokan duniawi
telah menggelapkan mata hati
kelam segala ikrar dan manifesto
yang tertanggung di pundak amanah.

Kucoretkan bisik hati ini kepadamu
agar memperbetul letak nawaitu
dalam memacu bahtera nusa
lurus dan teguh
ke pelabuhan madani.

ZULKIFLI BAHARUN
Bera, Pahang

14.

INTERHATI

Engkau mendekati hati kami
melalui senyum dan kata-kata manis di bibir
dalam tempoh berkempen.

Meresap engkau ke hati kami
dengan tindakanmu membantu susah
mampu engkau hilangkan resah.

Kami mendakap di hatimu
dengan setia jiwa dan raga
kerana kau bawa jasa beraga-raga.

Menghilang engkau dari hati kami
apabila kau mula sibuk
menghitung wang dan harta benda
yang ke poketmu disogok
untuk membeli keputusan.

-IRWAN ABU BAKAR
Kuala Lumpur, 2:20AM, 1 April 2022
.

ULASAN: Ada kelainan saya baca sajak Prof pagi ni. Bagus betul ilhamnya – CT Nurza.

TAMAT.