Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim (1939-2022), yang lebih dikenali sebagai penyair yang menggunakan nama Yahya M. S., telah meninggal dunia pada 14 Mac 2022.

Yahya M.S. dIilahirkan di Kampung Lorong Sikana, Brunei pada 21 Ogos 1939. Beliau pernah belajar di Sekolah Arab Al-Junied, Singapura dan di Kolej Islam Malaya di Kelang, kemudiannya menyambung pembelajarannya di Universiti Azhar, Mesir sehingga mendapat Ijazah Sarjana Sastera (MA) dalam jurusan pengajian Arab.

Beliau mula menulis pada tahun 1955 dan terbit dalam akhbar mingguan di Malaysia. Sajak-sajak awalnya telah dikumpul dalam antologi LAUNGAN (1966) yang diberi kata pengantar oleh A. Samad Said. Sebuah sajaknya, “Sepanjang Jalan ke Kampung Jawa” (1962) pernah menerima bantahan daripada penduduk Kampung Jawa kerana menceritakan keruntuhan moral penduduknya.

Yahya pernah berkhidmat dalam beberapa jabatan kerajaan Brunei, termasuk pegawai dan penguasa pelajaran, ahli majlis mesyuarat Diraja, dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama.

Antara kumpulan puisi perseorangannya yang telah diterbitkan termasuklah Warna Menggugat Zaman, Musim-Musim Perjalanan (2013), Nyanyian Perjalanan Mencari Diri Dari Muara ke Arafat (2004), dan Perjalanan Malam Kalimantan Menuju Siang (1988).

Beliau juga pernah dianugerah SEA Write Award.

TAMAT.